KUANTAN: Dari jauh, kelihatan Ismail Ahmad Gundal begitu tekun membetulkan kedudukan kain baldu hitam di tangan kanan supaya selari dengan kertas manila di tangan kirinya.
Selepas berpuas hati kain itu ‘berada betul di tempatnya’, Ismail, 58, menolaknya ke arah jarum mesin jahit jenama Brother yang setia menjadi sumber rezekinya sejak puluhan tahun lamanya.
“Ini baru siap badan… sekarang masuk ke peringkat yang paling leceh, iaitu mencantumkannya dengan kepala. Sudah siap nanti baru boleh nampak bentuk songkoknya,” katanya sambil tangannya ligat menyiapkan sebuah songkok.
Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Mail adalah antara pengusaha songkok tradisional di bawah jenama ‘Songkok Gundal’ yang dihasilkan seratus peratus menggunakan jahitan tangan di kedainya di Jalan Besar, di sini.
Pembuatannya yang halus dan kemas menjadikan Songkok Gundal yang dijual pada harga antara RM40 hingga lebih RM200, bergantung kepada jenis baldu, sebagai pilihan utama mereka yang mementingkan kualiti dan keselesaan.
PILIHAN ATASAN
Segelintir penduduk Kuantan mengenali Pak Mail sebagai ‘pembuat songkok kerabat’ kerana hasil tangannya menjadi ‘pilihan golongan atasan’ termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, adindanya Tengku Abdul Rahman dan anakanda mereka.
Mengimbas sejarahnya membuat songkok, Ismail berkata beliau diminta ayahnya Ahmad Gundal Mat Chontor untuk membantu perniagaan keluarga pada tahun 1978 ekoran keadaan kesihatan ayahnya yang semasa itu berusia 70-an tidak berupaya menyiapkan tempahan.
“Waktu itu saya baru menamatkan sekolah, baru setahun berhijrah ke Pekan bagi mendalami ilmu membaiki kenderaan. Bagaimanapun ayah bertegas mahu saya yang berusia 18 tahun semasa itu balik mempelajari cara membuat songkok.
“Mungkin kerana dalam 11 adik beradik, saya yang paling kurang cerdik sedangkan yang lain sudah bekerja kerajaan atau melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah, ilmu yang diturunkan ayah menjadi sumber rezeki saya membesarkan sembilan anak,” katanya.
Anak jati Kuantan itu seterusnya menambah Songkok Gundal dihasilkan dalam dua jenis iaitu ‘rata’ dan ‘gunung’ yang bermaksud ditinggikan kira-kira setengah inci pada bahagian kiri dan kanan kepala songkok, yang menjadi pilihan ramai anak muda pada masa kini.
PROSES PEMBUATAN
Empat barangan utama dalam pembuatan Songkok Gundal ialah kain baldu dari Jepun, Jerman dan Korea Selatan, kain satin sebagai lapisan dalam songkok, kertas manila dan kain perca yang dijadikan alas pertama sebelum dilapik kain satin.
Manakala saiz yang dihasilkan boleh bermula dari 16 inci boleh digunakan bayi berusia lebih tiga bulan sehingga saiz 26 inci, iaitu tempahan khas bagi mereka yang mempunyai saiz kepala agak besar.
“Proses pembuatannya rumit menyebabkan paling cepat sekalipun akan mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan satu songkok… dalam sehari hanya lima atau enam sahaja boleh disiapkan. Sebab itu, saya terpaksa menolak jika ada yang mahu mengambil songkok secara pukal untuk dipasarkan,” katanya.
Ismail menambah proses membuat songkok dimulakan dengan proses ‘mencatu’ iaitu memasang kain perca dengan kain satin bagi menghasilkan bahagian dalam songkok dan diikuti proses ‘mengkarung’ yang bermaksud mengukur saiz dan menjahit garisan tepi songkok yang dilakukan secara berulang-ulang.
Selesai proses itu, disusuli pula dengan ‘menggunting’ melibatkan dua bahagian iaitu kepala dan badan dan diteruskan dengan proses mencantumkan kedua-dua bahagian menjadi songkok sebelum menjalani proses terakhir iaitu memasang baldu kepada keseluruhan songkok.
LAMA UNTUK MAHIR
Ismail berkata proses mencatu dan mengkarung boleh dilakukan oleh lima anak saudaranya, sekaligus meringankan tugasnya dan membolehkan beliau menumpukan sepenuh tumpuan kepada proses menggunting dan mencantum yang disifatkan proses paling rumit dalam pembuatan songkok.
“Saya sendiri mengambil masa lama untuk mahir sehingga pernah dimarahi ayah. Proses ini perlu dilakukan dengan teliti dan tepat, tidak boleh ada gelembung sedikit pun. Jika tidak, pemakainya akan rasa sakit dan tidak selesa selepas beberapa jam memakai songkok.
“Bukan semua orang boleh mencantum… dengar seperti mudah, tapi mereka yang telah lama membantu saya pun masih tidak dapat mencantum songkok dengan sempurna,” katanya merujuk kepada puluhan songkok yang berada di meja belakang, yang digunakan ‘anak muridnya’ dalam sesi latihan mereka.
Ismail menambah songkok yang sudah 99 peratus siap ditangannya seterusnya perlu dijahit dengan jahitan lilit ubi pada bahagian bawahnya yang merupakan tugasan isterinya Norizan Mamat, 52 tahun.
Sebagai menghargai pelanggan Songkok Gundal, Ismail juga menyediakan perkhidmatan menukar baldu songkok pada harga mengikut jenis baldu dan menambah ada pelanggan yang datang untuk menggantikan baldu untuk songkok yang dibeli empat tahun lepas!
GUNA BERUS HALUS
“Ada yang kata harga songkok saya mahal jika dibandingkan di pasar raya. Saya berpegang kepada keselesaan dan kualiti. Songkok Gundal tidak menggunakan plastik sebagai lapik untuk membentuk songkok, sebaliknya dijahit tangan beberapa kali supaya benangnya kukuh dan terbentuk, menjadikan ia selesa dipakai,” katanya.
Ismail juga menasihatkan pelanggannya untuk tidak menyimpan songkok di dalam kereta tanpa dimasukkan ke dalam kotak kerana boleh menyebabkan baldu bertukar warna dan hanya menggunakan berus yang halus dan lembut untuk membuang habuk.
Paling utama, Ismail menasihatkan pelanggan untuk tidak menyentuh songkok semasa atau selepas makan kerana sisa makanan di tangan boleh melekat di songkok lalu ‘menarik minat serangga’ menyebabkab baldu songkok kelihatan seperti ‘dihakis’.
Tidak dinafikan songkok sudah menjadi pelengkap pakaian raya bagi lelaki, menyebabkan Ismail tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan sehingga terpaksa memanjangkan waktu operasinya sehingga tengah malam, berbanding setakat 6.30 petang pada hari biasa.
“Ada yang gemar membuat tempahan pada saat-saat akhir dan saya tidak sampai hati untuk menolak. Untuk songkok yang sudah siap, dua atau tiga hari sebelum raya, terlalu ramai yang datang sehingga kami terpaksa minta mereka untuk mencari sendiri saiz yang dikhendaki.
TAHAN LAMA
“Paling teruk ialah mereka yang ditugaskan untuk menebuk lubang pada songkok kerana barisan pelanggan menunggu giliran terlalu panjang. Mereka ini jenis yang suka bahagian kepala songkok ada lubang kerana lebih berangin dan tidak rimas,” katanya.
Sementara itu, seorang guru Mohd Taufik Mohd Taib, 55, yang diitemui semasa sibuk mencuba songkok di kedai itu berkata beliau sanggup mengharungi perjalanan sejauh 140 kilometer dari rumahnya di Temerloh untuk membeli Songkok Gundal pada setiap bulan Ramadan sejak 10 tahun lepas.
Beliau menambah tidak lagi membeli songkok di tempat lain selepas mencuba Songkok Gundal kerana selesa sehingga beliau mempromosi produk itu kepada rakan dan anggota keluarga yang bertanya selepas mereka merasai sendiri kain baldu yang digunakan dan melihat dalaman songkok yang berbeza.
“Songkok Gundal juga terletak cantik dan tidak rimas dipakai walaupun untuk tempoh yang lama. Saya pernah cuba membeli songkok di tempat lain, tapi akhirnya tetap balik semula ke sini,” katanya.
Kakitangan kerajaan, Mohd Alwi Azri, 33, pula mengakui beliau tertarik untuk mencuba Songkok Gundal selepas beberapa rakan kerap menyebut mengenai kehalusan jahitan dan keselesaan songkok itu di tempat kerja.
Anak jati Tumpat, Kelantan itu menambah meskipun harga yang ditawarkan adalah lebih mahal berbanding pasar raya, namun beliau percaya pada pepatah ‘alah membeli menang memakai’ kerana melihat songkok yang dipakai rakannya bertahan lama.
— BERNAMA