PELANCONG China ke New York telah dinasihatkan untuk tidak bergaduh ketika berada di Amerika Syarikat (AS) selepas seorang lelaki ditangkap di luar hotel kerana bergaduh dengan isterinya.
Konsulat China di New York mengeluarkan kenyataan pada Sabtu, mengingatkan pelancong China bahawa pergaduhan fizikal di AS bukan perkara kecil.
Seorang wanita bernama Zhang, baru-baru ini dilaporkan meminta pertolongan daripada konsulat apabila suaminya ditahan polis Amerika selepas mereka bergaduh di luar sebuah hotel di New York.
Dua pejalan kaki yang menyaksikan insiden itu telah membuat laporan polis dan lelaki itu telah dituduh melakukan keganasan rumah tangga, yang menyebabkan kepulangan mereka ke China terpaksa ditangguhkan.
“Ramai rakyat China berpendapat pergaduhan antara pasangan adalah urusan domestik. Tetapi di negara-negara Barat seperti AS, insiden seperti ini merupakan perkara besar,” kenyataan itu menyebut.
Konsulat itu menasihatkan pelancong China ke AS bahawa pergaduhan antara pasangan dianggap sebagai keganasan rumah tangga yang serius, dan pergaduhan yang berlaku secara peribadi juga boleh dilaporkan oleh jiran kepada pihak berkuasa.
“Sebelum ke AS, pelancong China harus memahami undang-undang dan peraturan serta perbezaan budaya antara kedua-dua negara, supaya insiden seperti itu dapat dielakkan,” kenyataan itu menambah.