KUALA LUMPUR: Filem televisyen terbaru Astro First Eksklusif – Janji Zehan buat julung kalinya menggandingkan lakonan Nur Fazura dan pelakon berbakat besar dari Iran, Amir Rezazadeh.
Filem yang judul asalnya ‘Lahzeye Bi Payan’ (dalam detik masa tidak berpenghujung) ini juga mengangkat keindahan panorama negara timur tengah itu dengan keunikan budaya masyarakatnya yang jarang diterokai filem tempatan.
Diarahkan Bernard Chauly dan Zabrina Fernandes, filem ini melakukan keseluruhan pengambaran di 43 lokasi sekitar Iran antaranya Shiraz, Kota Persepolis dan bandar tertua Yazd.
Menurut Bernard, Iran dipilih kerana beliau cuba lari dari stereotaip filem romantis yang kebanyakannya berlatar belakangkan negara Eropah.
“Bila bercakap mengenai bulan madu, ramai akan terfikirkan Paris, Itali dan sebagainya. Tapi itu yang kita cuba lakukan, lari dari kebiasaan. Iran adalah negara yang sangat cantik, romantik dan puitis – itu antara kelainan filem ini,” katanya.
Manakala bagi Zabrina, sebagai pengarah, beliau berkata selain kecantikan negara iran yang banyak ditonjolkan, lakonan matang Fazura juga antara sebab filem ini harus ditonton semua.
Bagi pelakon utamanya, Fazura, pengalaman berlakon di Iran sememangnya jauh meleset dari sangkaannya sebelum tiba di negara itu.
“Satu pengalaman yang baik untuk saya, walaupun ramai yang risau dengan keselamatan saya ketika di sana. Apa yang pasti apa yang kita dengar tentang Iran kebanyakannya tidak benar. Ia sebuah negara yang selamat, masyarakatnya yang baik dan pemandangan yang sangat cantik,” katanya.
Filem ini mengisahkan percintaan dua individu yang baru berkahwin dan penyesuaian latar belakang dan budaya Zehan (Fazura) serta Arman (Amir Rezazadeh).
Bakal menemui penonton mulai 14 Februari di saluran 480 Astro First Eksklusif dan platform digital On Demand.
Filem ini juga mendapat tajaan AirAsia dan kerjasama Kementerian Pelancongan Negara Iran serta Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia.
[embedded content]
[embedded content] (Why?)