Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil tahu perihal kesihatan anak. Ada 8 jenis-jenis kanser yang cenderung dialami kanak-kanak.
Kesihatan anak: Kefahaman mengenai kanser kanak-kanak
Jadi bersempena dengan sambutan Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak Antarabangsa yang disambut setiap 15 Februari, mari kita ketahui apakah antara jenis kanser yang berisiko untuk terjadi kepada si kecil.
Kanser atau barah adalah penyakit yang terjadi apabila sel-sel tubuh rosak dan membesar di luar kawalan.
Sel-sel yang tidak terkawal ini tumbuh lebih cepat dan menjadi sel-sel yang disebut tumor.
Tumor ada ciri unik yang bergantung daripada mana punca sel-sel tersebut.
Umumnya setiap barah adalah berbeza. Ini kerana terdapat banyak jenis-jenis kanser untuk organ dan tisu dalam badan.
Kanser yang menyerang kesihatan anak selalunya berbeza dengan barah dialami oleh individu dewasa, seperti kanser usus besar, paru-paru dan payudara.
Selain itu, punca dan faktor risiko untuk setiap jenis-jenis kanser pediatrik juga berbeza berbanding individu dewasa.
Bahkan, tahap rawatan dan kelangsungan hidupnya juga tidak sama.
Dianggarkan kira-kira 84% kanak-kanak yang didiagnosis menghidap barah masih hidup dalam tempoh 5 tahun kemudian.
Doktor yang merawat barah kanak-kanak dikenali sebagai pakar onkologi pediatrik. Mereka dilatih untuk merawat penyakit kanser untuk si kecil.
Jenis-jenis kanser paling terdedah kepada kanak-kanak
Berikut merupakan antara 8 kanser yang paling kerap berlaku kepada si kecil, antaranya:
1. Leukemia
Leukemia adalah barah sumsum tulang – tisu separa pejal yang berada di dalam tulang.
Sel induk yang membentuk sumsum tulang dapat berkembang menjadi pelbagai jenis sel darah, termasuk sel darah putih – yang melindungi tubuh daripada jangkitan.
Apabila sel ini membesar di luar kawalan, nisbah normal sel darah putih – yang berperanan mengekalkan tahap kesihatan dan fungsi tubuh – terkeluar.
Perubahan nisbah sel darah dalam tubuh boleh menjejaskan kesihatan anak dan mewujudkan gejala leukemia seperti demam, lebam, jangkitan, anemia dan mudah berlaku pendarahan.
Terdapat 2 jenis leukemia utama pada kanak-kanak:
- Leukemia myeloid akut (AML)
- Leukemia limfoblastik akut (ALL)
2. Tumor otak dan saraf tunjang
Merupakan antara jenis-jenis kanser paling kerap dialami kanak-kanak.
Tumor otak dan saraf tunjang merupakan kumpulan besar untuk kanser yang berbeza. Kesemua kanser di bawah kumpulan ini mempunyai ciri, rawatan dan prognosis yang tersendiri.
Antara jenis tumor otak dan saraf tunjang yang biasa adalah:
- Glioma
- Tumor embryonal
- Tumor pineal
- Craniopharyngiomas
- Tumor glial dan neuroma bercampur
- Schwannomas
Gejala tumor otak pada kanak-kanak boleh merangkumi sakit kepala, mual, muntah, penglihatan kabur atau berganda, pening, sawan serta masalah berjalan atau kesukaran mengawal objek
3. Neuroblastoma
Selain tumor otak dan saraf tunjang, kanser pada kanak-kanak juga terhasil daripada sel-sel saraf.
Ini terutamanya ketika sel-sel ini berkembang buat pertama kalinya.
Ia adalah kanser neuroblastoma. Barah ini paling biasa terjadi pada bayi dan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.
Neuroblastoma juga boleh menjadi campuran sel saraf dan sel yang melapisi saraf, keadaan yang menjejaskan kesihatan anak ini dipanggil ganglioneuroblastoma.
Adakalanya, sel ganglioneuroblastoma boleh berubah menjadi sel saraf biasa dan berhenti tumbuh walaupun tanpa sebarang rawatan. Ia dipanggil tumor jinak (benign tumor).
Ibu bapa harus perhatikan sebarang pembengkakan di perut atau gejala lain seperti kesakitan tulang dan demam.
Jenis-jenis kanser #4. Nephroblastoma
Kanser buah pinggang, yang disebut tumor nephroblastoma dan tumor Wilm.
Ia berkembang melalui sel buah pinggang belum matang, yang menapis keluar lebihan air, garam dan bahan buangan daripada darah.
Tumor ini paling biasa terjadi pada kanak-kanak perempuan berbanding lelaki, berumur 3 hingga 4 tahun.
Ia juga cenderung dialami kanak-kanak berkulit hitam daripada kanak-kanak kaum lain.
Antara simptom yang perlu diperhatikan adalah sebarang tanda bengkak atau benjolan pada perut, demam, loya atau hilang selera makan pada anak-anak.
5. Limfoma
Tersenarai antara salah satu jenis-jenis kanser paling kerap terjadi pada kanak-kanak, limfoma adalah barah limfosit – sel darah putih daripada tisu sumsum tulang.
Perbezaan barah ini dengan leukemia adalah mengenai lokasi pertumbuhan sel kanser itu.
Ini kerana limfoma biasanya tertumpu pada saluran dan kelenjar sistem limfa, manakala leukemia pula ditemui pada sumsum tulang dan darah.
2 jenis limfoma utama yang sering menjadi punca masalah kesihatan anak adalah:
Simptom barah ini termasuklah penurunan berat badan, demam, kerap berpeluh, keletihan dan terdapat benjolan di bawah kulit leher, ketiak atau pangkal paha.
Jenis-jenis kanser #6. Rhabdomyosarcoma
Tumor barah pada otot yang menggerakkan tubuh.
Oleh sebab otot terdapat pada seluruh tubuh, maka ini bermakna kanser rhabdomyosarcoma juga boleh berkembang di mana-mana sahaja seperti kepala dan leher, pangkal paha dan pelvis.
Kanser ini lebih kerap menyerang kanak-kanak lelaki.
Antara gejala yang perlu diperhatikan adalah termasuk rasa sakit, bengkak serta benjolan.
7. Kanser tulang
Walaupun jenis kanser ini lebih kerap dialami remaja, pun begitu, masih ada risiko untuk terjadi kepada kanak-kanak.
Terdapat 2 jenis barah tulang yang boleh menjejaskan tahap kesihatan anak:
- Osteosarcoma
- Ewing sarcoma
Simptom bagi kanser ini termasuklah sakit tulang yang bertambah teruk pada waktu malam atau ketika melakukan sebarang aktiviti serta pembengkakan di sekitar tulang.
8. Retinoblastoma
Barah terakhir yang tersenarai sebagai antara jenis-jenis kanser paling kerap menyerang kanak-kanak adalah retinoblastoma – tumor mata.
Ia sering dialami anak kecil, sekitar usia 2 tahun dan jarang terjadi pada kanak-kanak berusia lebih daripada 6 tahun.
Pengesanan retinoblastoma sering disebabkan oleh ‘kesan mata merah’ yang hilang dalam gambar.
Jika anda menyuluh cahaya pada mata anak, ia akan kelihatan merah. Sekiranya berwarna putih atau merah jambu, sila bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor mata.
Antara simptom lain untuk kanser retinoblastoma adalah warna yang berbeza pada anak mata, mata juling dan rasa sakit pada deria penglihatan ini.
Kesimpulan
Sesungguhnya tiada seorangpun ibu bapa di dunia ini yang mahu melihat anak kecil mereka sakit.
Namun, adakalanya nasib tidak menyebelahi mereka.
Jadi sentiasa pantau keadaan kesihatan anak dan perhatikan sebarang perubahan atau kelainan pada diri mereka.
Jika ada, segeralah bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.