KETIADAAN salah seorang anggota kumpulan MONSTA X, Wonho tidak menjejaskan persembahan hebat konsert ‘Monsta X World Tour Were Are Here in Kuala Lumpur’ yang berlangsung pada Sabtu.
Mana tidaknya, lebih 5,000 peminat hadir untuk menyaksikan sendiri persembahan secara langsung konsert yang dianjurkan oleh MacPiePro ini.
Bagaimanapun, I.M bagi pihak MONSTA X memohon maaf atas ketiadaan Wonho dan berjanji untuk kembali ke Malaysia sekali dengan anggota kumpulan yang lengkap.
“Terima kasih kepada anda untuk memori dan pengalaman yang manis ini. Kami juga ingin memohon maaf dengan apa yang berlaku dan ketiadaan rakan kami, Wonho.
“Kami benar-benar memohon maaf dan terima kasih kerana meluangkan masa untuk bersama kami. Kami berjanji akan kembali lagi ke negara ini bersama tujuh anggota lengkap,” ujarnya sebelum konsert tamat.
Terdahulu, MONSTA X yang dianggotai oleh Shownu, Minhyuk, Joohoney, Kihyun, Hyungwon, Wonho dan I.M hadir ke Malaysia untuk siri jelajah ‘Monsta X World Tour Were Are Here in Kuala Lumpur’ pada Sabtu.
Bagaimanapun, MONSTA X terpaksa mengadakan persembahan hanya dengan enam anggota kerana Wonho berdepan dengan masalah kehilangan pasport semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang Jumaat lalu.
Wonho kemudiannya terpaksa dihantar pulang ke Seoul untuk membuat pasport kecemasan sebelum kembali ke Malaysia sekali lagi.
Selepas ini, MONSTA X akan meneruskan siri jelajah mereka di Amerika Syarikat dan Eropah.