GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan maut selepas dilanggar kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Putra di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Aamina Inayah Mohd Hafezul yang mengalami kecederaan dalaman, disahkan meninggal dunia selepas setengah jam menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin berkata, ibu pengasuh kanak-kanak itu, Che Jah Yaacob, 54 tahun, cuba mengalih kedudukan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner yang berada di luar ke dalam garaj di hadapan rumahnya.
Katanya, ketika mengundurkan kenderaan itu, ibu pengasuhnya tidak menyedari kanak-kanak itu berjalan keluar dan berada di luar rumah.
Ketika kejadian, pengasuh yang berusia 20 tahun itu berada di dalam rumah dan juga tidak menyedari kanak-kanak itu keluar.
Mohd Taufik berkata, selepas perlanggaran itu, pengasuh itu bergegas dan melihat Aamina Inayah terbaring dan menangis.
Pengasuhnya segera membawanya ke hospital untuk menerima rawatan, namun Aamina Inayah disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Hafezul Abdullah, terkejut ketika dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa anak keduanya itu.
“Rasa kejut, sampai ajal dia. Dia biasa sahaja. Dia baru boleh berjalan dalam tiga bulan lebih…,” katanya.
Difahamkan, Aamina Inayah baharu seminggu lalu tinggal di rumah pengasuhnya kerana bapanya bekerja di Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang manakala ibunya bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi.