ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan kedatangan sejumlah 5.5 juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya dan Pembangunan Usahawan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata sasaran itu mampu dicapai berikutan negeri ini memiliki banyak destinasi yang menarik untuk dikunjungi.
Katanya, bagi merealisasikan perkara itu kerajaan negeri sedang mempertingkatkan promosi dan merancang menganjurkan pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa yang mampu menarik lebih ramai pelancong terutama ke destinasi terkenal, Pulau Langkawi.
“Tahun depan kita akan beri lebih fokus kepada acara yang lebih besar dalam pelancongan sukan yang boleh melibatkan sehingga 10,000 penyertaan sebab itu saya sasarkan kita akan menerima empat juta pelancong di Langkawi dan sekitar 1.5 juta di tanah besar.
Sebab trend anak muda sekarang lain dari dulu kerana mereka nak acara sukan dan sebab itu kita ada agenda besar untuk sport tourism dalam meningkatkan pelancongan negeri contohnya yang kita buat Regata, Iron Man, Le Tour De Langkawi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Hotel Darulaman di sini, pada Selasa.
Mohd Asmirul berkata, pengusaha hotel dan chalet di negeri ini juga disaran mengambil peluang itu dengan menawarkan pakej penginapan yang menarik dan selesa untuk para pelancong.
Beliau berkata, walaupun Pulau Langkawi menjadi destinasi pelancongan utama di negeri ini, kerajaan negeri turut memberi perhatian sewajarnya untuk mempromosi destinasi atau produk pelancongan lain yang ada di tanah besar.
“Sebab kadang-kadang pelancong tidak tahu dan kita perlu beritahu kepada mereka seperti sejarah di Masjid Zahir, Balai Seni, Muzium Negeri, Balai Nobat dan Galeri Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang ada di Alor Setar,” katanya.
Hotel Darulaman yang dimiliki Koperasi Guru-guru Melayu Kedah Bhd itu telah beroperasi sejak Mac 2014 dan menawarkan 28 bilik dengan kadar sewa antara RM99 hingga RM165 semalam, lengkap dengan kemudahan untuk keselesaan pengunjung.
— BERNAMA