KUALA LUMPUR: Warga Malaysia kini boleh menyesuaikan selipar, kasut dan beg mengikut keperibadian dan kreativiti sendiri dengan pembukaan kedai pertama Baia Baia Paris, satu jenama antarabangsa, di Pavilion Kuala Lumpur.
Jenama itu yang dikenali dengan ciri khas mereka, membuat pelanggan menjadi kreatif dalam mereka bentuk dan memperibadikan produk Baia Baia mereka.
Menurut Pengarah Urusan syarikat konglomerat KAR Holdings Sdn Bhd, Kamal Abdul Razak, Baia Baia menawarkan produk bukan sahaja kepada kaum wanita, tetapi juga kaum lelaki dan kanak-kanak.
Terdapat bengkel di dalam kedai itu di mana para pelanggan boleh mencipta dan menyesuaikan selipar, sandal jeli, kasut dan beg dengan aksesori pilihan mereka dari pelbagai reka bentuk yang menarik.
“Pelanggan boleh pilih warna, tapak kasut apa mereka nak, kemudian kita akan potong dan pasangkan tali selipar itu di depan pelanggan,” katanya.
Reka bentuk akhir pelanggan akan dihasilkan terus oleh ‘Baia Baia Master’. Selain itu, hiasan kedai Baia Baia adalah berdasarkan atribut utama mereka iaitu kreativiti dan keseronokan.
Tambah Kamal lagi, mereka memberi pelanggan kuasa untuk mengubah produk biasa menjadi ciptaan yang mempunyai elemen ‘wow’, dengan cara yang membolehkan setiap pelanggan menonjolkan gaya mereka tersendiri.
Baia Baia dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.