Kejayaan Azrulkhan Hasrullah yang menjadi pendaki kudung kedua-dua kaki pertama dari Malaysia yang berjaya sampai di Kem Induk Everest pada Selasa lepas diharap mampu menjadi contoh kepada golongan istimewa yang lain.
Beliau yang mesra dikenali sebagai Adam, berjaya menawan Kem Induk Everest pada ketinggian 5,350 meter pada pukul 2.30 tengah hari pada 15 Mei lepas waktu tempatan (2.45 petang waktu Malaysia) dengan cara mengengsot.
Ditemui media ketika selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini malam tadi, Adam berkata beliau bersyukur dapat menghabiskan misi yang pertama seumpamanya di dunia itu dengan jayanya.
“Buat masa ini tiada lagi pendaki yang berjaya sampai ke Kem Induk Everest dengan cara mengengsot dan kejayaan saya ini turut dibantu oleh ahli pasukan saya,” katanya.
Adam, 26 tahun, memulakan pendakian dari Lukhla, Kathmandu, Nepal pada 1 Mei lepas.
Misi yang dijayakan Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Kem Induk Everest 2018 itu diketuai oleh Aliff Abdullah sebagai ketua perubatan dan Irwan Yusof, pengurus ekspedisi bersama jurulatih Adam, Ardi Dullam.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin selaku penaja ekspedisi Adam.
Adam berkata kehadiran beliau sebagai pendaki orang kurang upaya (OKU) turut menarik perhatian warga tempatan di sana.
“Bagi saya golongan OKU di Malaysia mempunyai kemajuan tersendiri seperti rakyat Malaysia yang lain tetapi ketika di Nepal masyarakat di sana terkejut hingga keluar dari rumah mereka untuk melihat keadaan saya yang mahu mendaki,” katanya.
Malah katanya, kejayaan beliau kali ini diharap mampu memberi ruang dan semangat kepada golongan OKU lain di negara ini untuk lebih menyumbang kepada negara.
–BERNAMA