Mungkin ramai yang masih belum tahu bahawa tanggal 3 Disember pada setiap tahun merupakan Sambutan Hari OKU Sedunia.
Terma OKU ini sering kali digunakan untuk merujuk individu yang mempunyai kecacatan atau keilatan kekal pada diri mereka.
Persoalannya, apakah maksud sebenar OKU? Apakah perkataan yang paling sesuai di antara kelainan, kekurangan atau kehilangan upaya?
Jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini untuk mengetahui jawapannya dengan lebih lanjut!
Apa itu golongan OKU?
Golongan OKU adalah mereka yang mengalami kecacatan atau keilatan kekal pada diri.
Menurut Akta OKU 2008, golongan ini termasuklah mereka yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang fizikal, mental, intelektual atau deria.
Menurut akta itu lagi, mereka akan mengalami masalah apabila berinteraksi lantas boleh menyekat penyertaan dan pergaulan penuh dalam masyarakat.
Pun begitu, golongan ini tetap merupakan sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti orang lain.
Disebabkan itu, pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan mereka semua.
Persoalannya, siapakah yang termasuk dalam kategori ini?
Siapa itu golongan OKU?
Seperti mana yang sudah kami nyatakan di atas, mereka adalah golongan yang mengalami kecacatan atau keilatan kekal pada diri.
Siapakah yang termasuk dalam kategori ini? Berikut adalah golongan yang boleh dikategorikan sebagai OKU:
- Buta
- Pekak
- Bisu
- Lumpuh
- Kudung anggota badan
- Mengalami masalah pertuturan
- Mengalami masalah pembelajaran
- Mengalami masalah mental
Tiada siapa yang minta untuk dilahirkan ke dunia dengan ketidakupayaan di atas ini dan ia mungkin akan berlaku ketika di janin ibu lagi.
Namun wujud juga beberapa punca lain selain genetik seperti penyakit, jangkitan, kecederaan atau kemalangan yang mungkin tidak mampu dielakkan.
Jadi, hormatilah dan rujuklah mereka dengan menggunakan terma yang paling tepat!
Kelainan, kekurangan atau kehilangan upaya?
Terma ‘orang cacat’ atau ‘orang gila’ sering sahaja digunakan untuk merujuk mereka yang kurang bernasib baik ini dan ia adalah perbuatan yang salah!
Sebaliknya, gunakanlah terma yang baik dan tidak mengguris perasaan mereka seperti ‘golongan istimewa’.
Dalam pada itu, mungkin kita semua sudah dididik dan terbiasa bahawa akronim OKU itu adalah membawa maksud ‘Orang Kurang Upaya’.
Mungkin menurut Kamus Dewan Bahasa & Pustaka, ia adalah betul namun bukanlah merupakan istilah yang tepat untuk merujuk mereka.
Sebaiknya, sila elak menggunakan perkataan ‘kekurangan’ atau ‘kehilangan’ upaya dan gunakanlah ‘kelainan’ kerana ia adalah yang terbaik.
Ini kerana Orang Kelainan Upaya ini juga mampu melakukan sesuatu yang individu normal tidak mampu!
Golongan OKU perlu empati bukan simpati…
Mungkin ramai dalam kalangan kita yang sangat mudah berasa kasihan setiap kali melihat golongan ini bukan?
Ya, ia adalah perasaan normal yang akan terbit dengan sendiri namun ia perlu diubah dengan kadar segera!
Ini kerana golongan OKU ini tidak memerlukan simpati daripada orang lain sebaliknya mungkin hanya menginginkan empati sahaja.
Mereka hanya mahu dan berhak untuk dilayan sama rata seperti orang lain juga dan bukannya dikategorikan sebagai individu yang tidak berdaya.
Sekiranya mereka mencapai sesuatu kejayaan, ucapkanlah tahniah dan jangan terlalu membesarkannya sehingga wujud perasaan tidak selesa dan rendah diri.
Kenapa tidak jika kita semua hanya menganggap mereka adalah manusia biasa yang juga sama keinginan dan kemahuan untuk berjaya seperti orang lain?
Ia adalah perkara paling tepat untuk dilakukan!
Jangan pandang rendah golongan ini!
Sekiranya anda adalah salah seorang yang kurang bernasib baik, adalah penting untuk kalian ingat bahawa kesempurnaan itu bukan hanya wujud pada luaran sahaja.
Sudah ramai golongan OKU yang telah berjaya di persada dunia ini dan itu telah membuktikan bahawa ketidakupayaan tidak akan menghalang kecemerlangan.
Lihat sahaja Stephen Hawking yang merupakan seorang ahli fizik dan tokoh terkenal dalam bidang akademik.
Meskipun mendiang menderita penyakit motor neuron yang melumpuhkan tubuhnya, tapi tidak semangatnya.
Di negara kita juga, siapa sahaja yang tidak kenal dengan Sukur Ibrahim yang merupakan seorang pemilik syarikat dan pemberi motivasi tersohor di Malaysia?
Keilatan pada tangan dan kaki beliau bukanlah satu alasan untuk tidak berjaya dan itu terbukti melalui pencapaiannya yang telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah!
Akhir kata, jangan cepat berputus asa meskipun takdir seakan tidak menyebelahi kita semua kerana kejayaan itu akan datang juga jika ada kecekalan dalam diri.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.