ULAR berbisa spesies many-banded krait bermungkinan menjadi punca asalnya penularan wabak koronavirus yang membawa kepada penularan virus berkaitan pernafasan yang merebak di China, sejak akhir Disember tahun lalu.
Lapor CNN, ular berkenaan yang juga dikenali dengan nama saintifiknya Bungarus multicinctus, merupakan spesies ular elapid berbisa yang sering ditemui di selatan China dan Asia Tenggara.
Menurut laporan, para saintis di China telah mengambil sampel virus berkenaan daripada pesakit dan telah menentukan kod genetik virus itu menggunakan mikroskop.
Malah, media tempatan di China melaporkan ia merupakan jenis virus coronavirus yang baharu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menamakan virus baharu itu dengan nama, 2019-nCoV.
Selain itu, para saintis juga telah menganalisis kod protein virus berkenaan dan membandingkannya dengan beberapa kod protein haiwan lain seperti burung, ular, landak dan kelawar.
Penemuan kemudian mendapati bahawa kod protein pada 2019-nCoV (jenis koronavirus terkini) adalah paling serupa dengan yang ditemukan dalam badan ular.
Lebih mengejutkan, laporan juga mendapati bahawa ular berkenaan sering dijual di pasaran tempatan sebagai makanan eksotik di Wuhan, sekali gus mengaitkannya sebagai punca bagi permulaan wabak berkenaan.
Penularan penyakit berkenaan mula dilaporkan pada akhir bulan Disember tahun lepas di Wuhan, dan ia kini dilaporkan merebak pantas di China.
Virus itu telah tersebar ke bandar-bandar lain di China, dengan Beijing dan Shanghai mengesahkan kes pertama mereka pada Isnin, sementara lebih beberapa kes yang sama turut dikesan di wilayah selatan Guangdong.
BACA: Macau kesan kes pertama koronavirus Wuhan
Malah, beberapa negara lain seperti Thailand, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan turut mengesahkan kes berkenaan di negara mereka selepas individu yang dijangkti virus berkenaan masuk ke negara mereka.
BACA: Virus Wuhan pertama dikesan di Amerika Syarikat
Pada Rabu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan seramai sembilan terkorban akibat koronavirus, yang menjangkiti melalui saluran pernafasan.
BACA: KKM tingkatkan saringan koronavirus baharu di KLIA – Boon Chye
Dalam pada itu, WHO pada Rabu dilapor masih menangguhkan keputusan mereka sehingga Khamis bagi menentukan sama ada penularan wabak itu sebagai satu situasi “kecemasan kesihatan awam antarabangsa”.
Jelas jawatankuasa kecemasan WHO, mereka masih tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan tersebut.
Namun kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, beberapa wakil anggota WHO dikerahkan ke China sedang mengumpul maklumat dan mereka dijangka dapat membuat kenyataan pada Khamis.