KEPALA BATAS: Kematian warga emas yang mayatnya ditemui di dalam bilik air di rumahnya di Permatang Bertam, di sini petang semalam tidak mengandungi sebarang unsur jenayah.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor, hasil bedah siasat ke atas mangsa tidak menemui sebarang kecederaan akibat daripada pergelutan.
“Kes disiasat sebagai SDR iatu kematian mengejut memandangkan hasil bedah siasat yang dijalankan pihak Unit Forensik Hospital Seberang Jaya mendapati kecederaan yang dialami si mati tiada ‘defence injuries’ akibat pergelutan.
“Tiada unsur-unsur jenayah ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, hasil siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang kesan pecah masuk ke rumah mangsa atau kesan geledah yang boleh mensabitkan berlakunya unsur jenayah berhubung kematian mangsa.
Hasil soal siasat bersama jiran mangsa juga mendapati, mereka tidak mendengar apa-apa kekecohan sepanjang tempoh kejadian.
BACA: Warga emas ditemui maut dalam bilik air di rumah
Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, mangsa yang dikenali sebagai Che Jamilah Ahmad, 72 tahun, tinggal bersama anak lelakinya yang berusia 38 tahun dan bekerja di sebuah syarikat pembersihan di Butterworth.
Sewaktu kejadian, mangsa tinggal seorang diri kerana anak lelakinya keluar bekerja.
“Kali terakhir anak wanita itu melihatnya adalah pada 7.30 pagi hari kejadian sebelum keluar bekerja dan waktu itu, warga emas itu berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan apa-apa tanda yang mencurigakan,” kata Noorzainy.
Namun, ketika pulang ke rumah, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di laluan pintu menuju ke bilik air di bahagian dapur dengan kesan luka di bahagian dahi sebelah kanan dan berlumuran darah.
Polis juga menemui kesan darah pada bucu lantai pintu dapur namun tiada percikan darah pada bahagian dinding rumah atau di lantai.
Polis kemudiannya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.