PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menekankan kepentingan semua anggota masyarakat untuk sama-sama bertanggungjawab dalam mengekang penyebaran wabak COVID-19.
Hanya selepas amalan penjagaan kesihatan diri menjadi kelaziman rakyat, barulah kerajaan akan yakin untuk membuat keputusan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Apabila kita patuhi semua garis panduan, ini bermakna kita telah menjalankan tanggungjawab kita. Ini besar maknanya, terutama bagi pimpinan masyarakat untuk mengetuai usaha ini, selain barisan hadapan kita.
“Ini merupakan langkah exit plan dan jika kita tidak mahu dijangkiti, kita harus menjadikan penjagaan kesihatan dan kebersihan sebagai amalan, seperti mencuci tangan, memeriksa suhu badan sendiri serta memakai topeng hidung dan mulut apabila berada di luar rumah.
“Paling penting, perlu ada sifat saling tegur-menegur sebagai sebahagian kewajipan bersama. Apabila ini sudah menjadi resam, barulah kerajaan akan putuskan bila PKPB tidak dikuatkuasakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan pada Sabtu malam.
Perdana Menteri juga menyifatkan normal baharu dalam Ramadan yang baru berlalu ini sebagai mengandungi hikmah tersendiri.
“Sebulan bertarawih di rumah, ramai bapa sudah pandai jadi imam, ada anak lelaki yang sudah pandai menjadi bilal.
“Ada keluarga yang menjadikan tadarus al-Quran sebagai kebiasaan. Ini sekali gus mengeratkan hubungan dan kasih sayang sesama ahli keluarga,” tambah beliau.