PETALING JAYA: Kerajaan baharu Pakatan Harapan (Harapan) disamakan seperti tempe kerana didakwa tidak konsisten dalam memberikan fakta.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini, janji yang dibuat sebelum menang PRU14 masih belum berjaya dilaksanakan.
“Kita lihat contohnya, apabila diisytiharkan mereka menang, kata harga minyak akan turun tetapi kenyataannya sehingga sekarang tidak turun.
“Mereka juga isytihar GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) akan dihapuskan, tapi tidak ada barang yang harga turun walaupun GST 0 peratus. Ada 90 barangan yang telah naik harga,” katanya dipetik menerusi portal UMNO Online.
Beliau berkata demikian dalam program berbuka puasa bersama Ketua-Ketua Penerangan Bahagian UMNO pada Ahad.
Selain itu, Ahmad Zahid turut mempersoalkan janji Harapan untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mereka berpendapatan RM4,000 ke bawah.
“Maka situasi untuk pembiayaan semula melalui PTPTN tidak dapat dilaksanakan.
“Mereka juga kata hutang negara RM1 trilion, tetapi yang jelas hanya RM686.8 billion. Mereka katakan ada pinjaman asing tetapi sebenarnya ’domestic debt’ iaitu pinjaman dalam negara… ertinya tidak ada pengaliran wang tunai ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan baharu juga menuduh kerajaan BN membuat pinjaman dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) dan yen, namun hakikatnya Bank Negara Malaysia membuktikan hanya dua peratus sahaja pinjaman dalam AS$ dan satu peratus pula yen.
“Ertinya pinjaman kita dalam bentuk ringgit. Mereka juga kata Bursa KL (Kuala Lumpur) akan meningkat tapi akhirnya merudum jatuh.
“Dulu mereka kata ekonomi berada dalam kekecamukan dan negara hampir bankrup tetapi akhirnya mereka kata ekonomi kukuh. Siang cakap lain petang cakap lain. Macam tempe… pagi masih lagi kacang, petang sudah jadi tempe, esok sudah naik kulat,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua ahli Parlimen BN bersatu menjadi pasukan pembangkang yang efektif di Dewan Rakyat bagi mengekang tohmahan tidak benar kerajaan baharu.