KUALA LUMPUR: Kenderaan pertama pelbagai guna (SUV) Proton, Proton X70 dilancarkan secara rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu.
Ia dilengkapi dengan pelbagai inovasi menarik yang ditampilkan Proton termasuk menerusi sistem arahan suara.
Model terbaharu Proton ini nyata berbeza daripada model keluarannya sebelum ini yang dilihat lebih terkini dan memenuhi citarasa pengguna dan peminat SUV.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya memuji inovasi terbaharu Proton yang kerjasama dengan Syarikat Geely.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Proton dengan pelancaran ini. Sejak Proton menjalankan kerjasama dengan Geely ia menyaksikan Proton berkembang dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Proton X70 di ibu negara.
Beliau yang sebelum ini pernah diperkenalkan dengan model SUV X70 itu oleh Syarikat Geely ketika lawatannya turut berkongsi pengalaman tentang produk keluaran terbaharu Proton ini.
“Saya telah diperkenalkan dengan kereta ini (Proton X70), kereta ini boleh bercakap. Jadi anda perlu memberi arahan yang betul kepada kereta ini. Jika anda bosan dan keseorangan ketika memandunya anda boleh mengeluarkan arahan dan kereta itu akan bercakap dengan anda,” katanya.
SUV X70 ini dijual pada harga bermula daripada RM99,800 hingga RM123,800.