Tidak dinafikan hubungan adik-beradik telah terjalin sejak kecil, hidup dan membesar bersama. Namun, tidak boleh dinafikan ikatan pernikahan antara suami dan isteri. Jangan ditolak pandangan seorang isteri tentang suaminya kerana dia lebih memahami suaminya luar dan dalam.
Walaupun kita adik-beradik kandung waima ibu dan bapanya, jangan masuk campur urusan rumah tangga anak, menantu kita. Sesungguhnya ikatan adik-beradik tak sama dengan hubungan suami, isteri.
Ikuti perkongsian, Intan Dzulkefli :
Ada suatu ketika, saya terdengar ibu berbual dengan ayah.
“Urusan rumah tangga orang, kita jangan masuk campur walau itu urusan rumah tangga anak-anak kita atau adik beradik kita.”
“Walau kita ini mak,ayah yang melahirkan dan susah-payah membesarkan anak-anak, tetapi bila anak sudah berkahwin, percaya atau tidak, pasangan dia itu lebih mengenali luar dalam anak-anak kita.”
“Sebab itu kalau anak kita mengadu masalah rumah tangga, jangan terus jatuh hukum dan sokong anak kita membuta tuli. Kita tak tahu apa kisah di pihak menantu kita pulak.”
Tidak Layak Untuk Berkata
Benar… Sebagai orang luar sesebuah hubungan suami dan isteri, biar pun kita pernah hidup lama dengan anak atau adik beradik kita, tetap tidak lunak untuk kita berkata,
“Kau tu baru saja berkahwin dengan anak/abang/kakak/adik aku. Aku ini yang hidup berpuluh tahun dengan dia. Aku lagi kenal siapa dia.”
“Kau tu siapa? Orang luar je, bila-bila boleh dicari ganti. Kami ni keluarga dia. Sampai bila-bila tiada yang boleh ganti.“
Kenyataan-kenyataan sebegini boleh melukakan untuk didengari. Seolah kedudukannya sebagai pasangan itu adalah picisan semata.
Memang betul, pertalian ibu, bapa-anak dan antara adik beradik ialah ikatan darah yang tak akan terputus. Namun, pasangan suami dan isteri yang soleh, solehah pun bukanlah ibarat benda yang boleh DIBUANG sesuka hati.
Maaf. Tidak lunak untuk kita sewenangnya mengeluarkan kata-kata seperti itu sekalipun kita tidak bersetuju, kita tidak suka, tidak hormat kepada ipar/menantu kita.
Pandangan Pasti Tak Sama
Pandangan kita sebagai ibu bapa atau adik-beradik adalah tidak sama dengan pandangan pasangan yang hidup bersama, nampak semua sisinya secara total, tidur sebantal, melahirkan dan bersama-sama membesarkan anak-anak.
Percayalah. Banyak sisi lain, ‘wajah-wajah’ lainnya yang kita tak nampak, yang mungkin hanya terzahir di depan pasangannya sahaja.
.
Belajarlah hormat pasangan anak atau adik beradik kita walau kita tidak suka atau memang tiada langsung rasa hormat pun dengan mereka.
Namun, tetap kita perlu hormat ikatan akad nikah mereka itu. Ikatan mereka suami, isteri adalah ikatan yang diiktiraf di sisi agama. Hormat bahawa itulah insan yang anak atau adik beradik kita sayang.
Itulah juga antara tanda kita betul-betul sayang kepada anak atau adik-beradik kita itu. Ya kan?
.
Wallahu’alam.
Sekadar pendapat peribadi. Tak setuju, tak apa.
#intandzulkefli
#randomthoughts
Sumber: Intan Dzulkefli
MW: Sebaiknya, hormatilah hubungan pernikahan yang telah terbina. Itu tandanya kita menyayangi anak-anak atau adik-beradik lebih daripada segalanya. Jika kita tak sayangkan ipar atau menantu sekali pun, jangan dicela hubungan suami, isteri yang telah terjalin.