PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menyasarkan sebanyak 16,000 sampel dapat dilakukan menerusi kit ujian sehari, bermula Jumaat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu bagi meningkatkan keupayaan kementerian untuk memperluaskan saringan ujian secara besar-besaran.
Malah katanya, penggunaan kit ujian tersebut mampu memberikan keputusan yang cepat dan tepat.
“Usaha melakukan saringan secara besar-besaran akan dilakukan pada Jumaat ini dan kita akan menguji kemampuan rapid test kid untuk antigen (kit ujian) dan bukan daya ketahanan badan.
“Kemampuan KKM ada 18 makmal manakala swasta ada lima dan kita tingkatkan keupayaan untuk kita mengesan jangkitan itu.
“Sekarang kita laksanakan sebanyak 6,000 sampel sehari dan kita jangkakan peningkatan saringan sehingga 16,000 sehari dapat dilakukan walaupun masih belum guna kit ujian berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Noor Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) masih dalam perbincangan untuk mendapatkan kit ujian secara besar-besaran yang membolehkan tingkatkan ujian sampel dalam sehari.