PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan para pentadbir dan penjawat awam untuk tidak menggunakan kuasa yang diberi demi kepentingan peribadi, keluarga atau sahabat handai.
Berucap ketika perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Putra, beliau berkata penting untuk setiap penjawat awam mengamalkan nilai murni dalam menjalankan tugas mereka.
“Kuasa yang diberi bukan untuk kita raih kekayaan tetapi kuasa diberi untuk tujuan tertentu bagi mentadbirkan negara tercinta dengan sebaik mungkin dan kita punyai kebolehan yang diperlukan dengan nilai hidup yang mulia,” katanya,
Namun, perdana menteri berkata kadang kala apabila mendapat peluang untuk membuat sesuatu untuk diri sendiri, ada pihak yang terpesong dan lupa akan tugas mereka.
“Kita tidak diberi kuasa di peringkat ini untuk mengkayakan diri kita tetapi supaya dapat jalankan tugas tertentu.
“Inilah sebabnya kita berkuasa, apabila sahaja kita menyeleweng, menyalahgunakan kuasa, percayalah kita sendiri akan jadi mangsanya kemudian,” katanya.