TOKYO: Seorang lelaki dari Jepun mempunyai cara tersendiri bagi melaksanakan komitmennya terhadap konservasi alam sekitar iaitu menjadikan najisnya sebagai baja semula jadi.
Justeru, Masana Izawa berkata, dia berhenti daripada menggunakan tandas sejak 45 tahun lalu bagi memastikan segala tumbuhan berhampiran tempat tinggalnya mendapat baja secara konsisten.
Izawa mengakui, sepanjang tempoh itu, dia hanya menggunakan tandas sebanyak 14 kali dan membuang air besar di kawasan terbuka sebanyak lebih 15,000 kali.
Lelaki berusia 69 tahun dari wilayah Ibaraki itu juga sudah lali dengan kritikan masyarakat terhadap tabiatnya yang suka membuang air besar di tempat terbuka.
“Ada yang berkata tabiat saya jijik, tidak bersih dan melanggar undang-undang.
“Saya aktivis alam sekitar dan tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Tambah Izawa lagi, dia bukan membuang air secara semberono tetapi memilih lokasi dengan tepat dan tidak mencemari sumber air.
“Jika ada yang memilih untuk mengikut cara saya, pastikan anda memilih lokasi yang betul dan tidak mencemari zon bersih.
“Pastikan anda menggali lubang dan menutupnya,” ujar Izawa lagi. – Agensi