SUDAH menjadi kebiasaan untuk melihat anggota parlimen berdebat di Parlimen. Tetapi pernahkah anda melihat 100 ekor cimpanzi di ruang Parlimen?
Usah risau, ia bukan realiti tetapi sebenarnya sekadar sekeping lukisan oleh seniman jalanan misteri, Banksy.
Memetik laporan Reuters, lukisan bertajuk “Devolved Parliament” itu akan dilelongkan pada harga 2 juta pound (RM10.31 juta).
Menurut rumah lelongan Sotheby, karya berukuran 13 kaki (empat meter) itu sekali gus menjadikannya kanvas terbesar yang dihasilkan artis seni grafiti misteri tersebut.
Sotheby menjangkakan lukisan yang dihasilkan pada 2009 itu akan dijual pada harga 1.5 hingga 2 juta pound (RM7.73 juta hingga RM12.68 juta).
“Lukisan ini bersesuaian dan sememangnya berkaitan dengan keadaan semasa, bukan sahaja di United Kingdom, tetapi juga di seluruh Eropah dan dunia.
“Di sini, kami melihat salah satu demokrasi tertua di dunia dan di dalamnya, kami melihat kemerosotan kelakuan ahli politik dan ia disamakan dengan tingkah laku haiwan,” kata Alex Branczik yang merupakan Ketua Seni Kontemporari Sotheby Eropah.
Isu Brexit yang seakan-akan tiada kesudahannya dibahaskan di sidang Parlimen United Kingdom (U.K) pada Rabu lalu telah mencetuskan pertikaman lidah antara Perdana Menterinya, Boris Johnson dengan pihak pembangkang.
Karya seni tersebut akan dipamerkan di Sotheby, London sehingga ia dilelongkan pada 3 Oktober ini iaitu setahun selepas lukisan Banksy “Girl With Balloon” koyak dengan sendiri ketika dijual pada harga lebih 1 juta pound (RM5.4 juta) dalam satu acara lelongan oleh Sotheby.
“Pastinya banyak yang memberikan komen dan ia tidak dapat dielakkan.
“Saya boleh katakan secara terang, tiada mesin penghancur kertas yang tersembunyi dalam bingkainya pada kali ini.
“Jika terdapat mesin sebegitu, ia merupakan mesin yang sungguh besar. Saya yakin tiada mesin tersebut dalam bingkai,” katanya.
Banksy yang identiti sebenarnya masih belum diketahui merupakan seorang pelukis misteri yang berasal dari bandar Bristol, U.K.
Beliau terkenal kerana menghasilkan seni grafiti bertemakan politik dan juga taman hiburan Dismaland.