Majlis perkahwinan pastinya bertambah sempurna apabila dapat merakamkan detik-detik manis dengan dekorasi dewan yang dihias indah.Berita baik buat bakal pengantin apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan majlis akad nikah diadakan di premis yang disewa seperti hotel, dewan dan butik pengantin berkuat kuasa hari ini.
Ketetapan Baru Akad Nikah
Ketetapan baharu itu berdasarkan kemas kini Garis Panduan Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Garis panduan itu berkuat kuasa hari ini sehingga ke suatu tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan.
Berdasarkan ketetapan sebelum ini, majlis akad nikah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh dilaksanakan di pejabat cawangan Jawi dan masjid-masjid kariah di tiga wilayah berkenaan.
Sanitasi Ruang Majlis & Tetamu Tak Melebihi 50 Peratus
Selain itu, Jawi turut menetapkan supaya proses sanitasi di ruang majlis dan kawasan sekitarnya hendaklah dilakukan termasuk di tandas sebelum dan selepas majlis dijalankan.
Selain itu, kehadiran ke majlis akad nikah di premis tersebut juga hendaklah tidak melebihi 50 peratus keluasan kapasiti premis dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.5 meter dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) am pelaksanaan majlis sosial yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Alhamdulillah, berita baik buat pengantin dan pengusaha butik-butik perkahwinan. Somoga bisnes dapat diteruskan dengan sama-sama berusaha mematuhi SOP yang ditetapkan.