BUKIT KAYU HITAM: Langkah kerajaan untuk memansuhkan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah mulai tahun hadapan berupaya merancakkan lagi pertumbuhan sosio-ekonomi penduduk setempat.
Tinjauan Awani Rangers di Kompleks Zon Bebas Cukai mendapati rata-rata berpendapat, pemansuhan bayaran tol itu akan membantu menggalakkan lebih ramai pelancong dari luar khususnya Thailand untuk masuk ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam.
Menurut Abdullah Ahmad, limpahan ini secara tidak langsung akan menjana ekonomi negara khususnya dalam sektor pelancongan.
“Selain itu, pemansuhan tol ini menjimatkan bagi saya yang berulang alik bekerja di kompleks ini yang melalui tol Bukit Kayu Hitam hampir setiap hari.
“Saya berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan apabila memansuhkan kutipan tol ini,” katanya.
Sementara itu, ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, pemansuhan kutipan tol itu adalah tuntutan daripada rakyat yang kerap menggunakan laluan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Katanya, ia merupakan satu berita gembira kepada mereka yang mencari rezeki serta bekerja di Kompleks Zon Bebas Cukai.
“Pada tahun hadapan, mereka tidak lagi kekurangan perbelanjaan yang mana mereka perlu membayar tol sebanyak dua kali untuk perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja,” katanya.
Mengikut perancangan yang digariskan pentadbiran negeri ini, antara komponen penting pembangunan di sini ialah zon industri, perumahan mampu milik dan mewah, kompleks beli belah, taman rekreasi dan pusat pendidikan serta berpotensi mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan.
**Awani Rangers UUM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Utara Malaysia (UUM)