KUALA LUMPUR: Di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini, sudah tentu ramai dalam kalangan rakyat Malaysia memenuhkan masa terluang mereka dengan memasak.
Malah, ada yang ‘berani’ mencuba skil memasak meskipun tidak pernah melakukannya sebelum ini.
Pelbagai resepi viral mahupun resipi turun temurun dari masakan tradisional, barat mahupun Asia turut dikongsi di laman sosial media masing-masing.
Tidak terkecuali laman sosial Facebook @MASAK APA TAK JADI HARI INI OFFICIAL yang mencuit hati apabila rata-rata netizen berkongsi gambar serta bercerita mengenai masakan mereka yang tidak menjadi.
Hanya dalam tempoh beberapa hari, netizen yang mengikuti page ini telah meningkat kepada lebih 750,000 pengikut.
Pemerhatian Astro AWANI tidak kering gusi melihat telatah setiap netizen menceritakan kejutan resepi mereka.
Ada yang membuat pau dan kek tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
Ikuti beberapa posting yang dimuat naik dalam laman Facebook ini. Sudah tentu memberi gelak ketawa kepada penonton.
Apa pun, tahniah kepada semua rakyat Malaysia yang duduk dirumah mengikut arahan PKP yang dikuatkuasakan sehingga 28 April ini.
Menurut pemilik laman sosial ini, Norlaila Dollah Ahmed, 46, berasal dari Grik, Perak dan menetap di Nilai, Negeri Sembilan berkongsi bagaimana beliau memulakan laman sosial yang kini mempunyai lebih 818,000 pengikut dalam tempoh enam hari.
“Pada 14 April itu, sehari sebelum tu saya buat serunding post di Facebook. Masa tengah masak serunding tu saya solat, selepas tu saya tertidur, bangun saja saya tengok serunding saya hangus.
“Sejak itu saya rasa macam nak buat group masak apa tak jadi. Kawan saya tolong buatkan dan tak sangka jadi viral macam ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Justeru tambah Norlaila, beliau berbangga dapat memberi senyuman kepada semua rakyat Malaysia ketika PKP.
“Alhamdulilah ramai yang suka dan hilangkan stress bila berkongsi gambar. Ada juga yang berterima kasih dekat saya dan mesej saya kata mereka stress, tapi bila lihat page saya terus terhibur,” katanya.
Perkongsian cerita ini jelas menunjukkan bahawa ia memberi gelak, ketawa kepada rakyat Malaysia ketika berdepan keadaan yang tidak pernah kita jangka.
Dis amping bersama keluarga dan orang tersayang, sudah tentu pelbagai aktiviti baik terutama memasak menjadi pilihan rata-rata rakyat di negara ini.
Teruskan dengan memanfaatkan masa terluang anda untuk mengurangkan stress dan tekanan ketika berada di rumah sewaktu PKP dikuatkuasakan.