MUSIM durian kini kembali melanda. Penggemar-penggemar raja buah ini tentu sekali tidak akan melepaskan peluang menikmati keenakannya.
Di mana-mana sahaja kelihatan gerai yang menjual buah durian sementara di media-media sosial pula, netizen sibuk memuat naik foto dan kapsyen mengenainya.
Antara jenis durian yang menjadi kegemaran ramai sudah tentunya Musang King, durian kampung, durian 101, D24 dan Udang Merah.
Selain makan sepuasnya di gerai durian, tidak kurang juga yang gemar menikmatinya di rumah.
Bagaimanapun, sebelum menikmati keenakan rasa durian, tentu sekali ada sebilangan daripada anda yang kurang mahir untuk mengopek buah berkenaan.
Kami senaraikan tiga langkah mudah buat anda yang selama ini terkial-kial untuk mengopeknya.
Cara mudah yang disenaraikan ini memberi jaminan isi durian yang cantik dan menggandakan lagi selera anda.
Namun begitu, sebelum mengopek raja buah itu, pastikan anda pakai sarung tangan atau menggunakan kain sebagai pelapik untuk tujuan keselamatan.
Berikut panduan buat pencinta durian:
1. Potong tangkai durian
Jika durian yang anda beli masih mempunyai tangkai, potong keseluruhan tangkai tersebut supaya ia senang diletakkan secara menegak di atas lantai.
2. Cucuk pisau di tengah garisan buah
Tidak semestinya menggunakan parang, anda boleh membuka buah durian dengan menggunakan pisau dapur yang biasa asalkan ia tajam.
Pegang durian dengan bahagian bawahnya mengadap anda dan bahagian tangkainya tadi di bawah. Ada lima garisan di tengah durian, cucuk pisau dan kopek ke belah kiri atau kanan anda.
3. Guna kekuatan tangan
Apabila anda lihat hujung durian telah terbuka, letak pisau dan disinilah kekuatan tangan anda diperlukan.
Dengan menggunakan kedua-dua belah tangan, pegang kulit durian dan kopek tengahnya sehingga ia terbuka sepenuhnya.
Selamat menikmati durian!