PENYANYI terkenal, Mawi bersama pemain bola sepak profesional, Piya berganding bahu sebagai ikon menubuhkan sebuah akademi bola sepak yang melatih anak-anak yatim menjadi pemain bola sepak.
Usaha murni kedua-dua personaliti popular itu tercetus apabila mereka melihat nasib anak-anak yatim kurang diberi perhatian menerusi aktiviti sukan seperti bola sepak.
Bekas Kapten Kelantan, Piya atau nama sebenarnya, Mohd Badhri Mohd Radzi menyatakan meskipun hasrat mereka ini masih di peringkat awal untuk dilaksanakan tetapi mereka merancang untuk mencungkil lebih ramai bakat anak-anak yatim bermain bola sepak di mana sahaja.
“Tujuan kami adalah mahu meraikan anak yatim dengan mewujudkan platform untuk mereka bersukan iaitu bermain bola sepak,” katanya kepada Astro Gempak.
Jelasnya, kehidupan yang dilalui anak yatim lazimnya lebih kepada aktiviti membawa golongan istimewa ini makan dalam sesebuah acara mahupun dijemput untuk mengadakan solat hajat.
“Bagi sesetengah orang cukup hanya membawa anak yatim ini pergi makan. Sebaliknya, kami mahu membuka akademi bola sepak untuk mereka,” katanya.
Akuinya, peluang sebegini jarang dinikmati anak-anak yatim.
“Buat masa ini, kami merancang ia dibuat di sekitar Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke tempat lain. Ia bergantung pada kesesuaian rumah anak yatim yang dipilih dan tidak kisah berapa banyak rumah kebajikan yang akan turut serta,” katanya.
Piya memberitahu akademi ini bukan hanya mahu mengajak anak-anak yatim bermain bola sepak tapi melatih mereka untuk bermain sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Apa yang kita ada (pengalaman), bagi mereka rasa. Saya sendiri akan bantu melatih mereka bermain bola sepak,” katanya.
Akuinya, sambutan golongan muda terhadap klinik bola sepak yang pernah disertainya sebelum ini cukup menggalakkan.
“Akademi seperti ini tiada orang lain buat. Saya percaya ramai anak yatim yang hendak main bola sepak cuma tiada peluang.
“Di Kelantan sendiri, ada antara remaja yang putus asa untuk terus bermain bola sepak sebab tiada galakan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Wan Syahrul Amry Wan Mansor yang merupakan individu yang mencetuskan idea penubuhan akademi tersebut menyatakan, kedua-dua ikon iaitu Mawi dan Piya mempunyai tarikan yang kuat terhadap projek ini.
“Apabila mereka bergabung, ini memberi ruang dari aspek berkongsi ilmu dan melakukan kerja amal.
“Klinik bola sepak memang biasa orang lain buat tetapi siapa yang peduli terhadap anak yatim yang mempunyai minat bermain bola sepak,” katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak