KUANTAN: Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam keadaan tangan dan kaki diikat di tepi Tasik Paya Bungor di Kilometer 50 Jalan Kuantan-Maran di sini pagi Ahad.
Jasad S. Raju, 39, yang bekerja sebagai mekanik ditemui orang awam kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan tertiarap dalam air.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, anggota Pondok Polis Paya Bungor telah terima maklumat daripada orang awam yang menjumpai mayat seorang lelaki yang terapung di tepi Tasik Paya Bungor.
“Mayat lengkap berpakaian baju-T berwarna merah dan seluar jean hitam ditemui dalam keadaan kedua-dua tangan dan kaki terikat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, jarak tempat mayat dijumpai terapung dengan jalan utama lebih kurang 10 meter.
“Berdasarkan fizikal tangan dan kaki diikat, polis mensyaki ada unsur perbuatan jenayah termasuk dibunuh.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat serta punca dan individu yang disyaki boleh membantu siasatan,” katanya.