“ 79% rakyat Malaysia berbelanja melebihi 10% daripada pendapatan tahunan mereka.. Manakala 15% lagi berbelanja melebihi 40% daripada pendapatan tahunan mereka.“
Itulah hasil kajian yang dilakukan oleh Mastercard Worldwide ke atas Indeks Keutamaan Pembelian Pengguna.
Secara umumnya ada dua cara untuk anda mendapatkan barang. Satu dengan membayar harga secara penuh dan ambil barang – pembelian tunai. Satu lagi dengan membayar harga secara ansuran dan ambil barang – pembelian hutang atau kredit. Kedua-dua ini adalah cara pembelian tetapi memberi kesan jangka panjang yang berlainan dari sudut kewangan kepada seseorang. Harus dan mesti anda ketahui bahawa pembelian atau pembayaran secara tunai adalah berkali-kali lebih baik berbanding pembelian secara kredit. Dan kali ini kita lihat mengapa..
Menggunakan tunai dalam urusan jual beli membantu perbelanjaan kita berada di dalam kawalan. Membayar tunai juga membuat kita berfikir dua kali atau beberapa kali sebelum menghulurkan mata wang untuk membeli kebanyakan perkara. Sebaliknya menghulurkan kad kredit atau mengambil sewa beli tidak memerlukan kita berfikir banyak. Tahu-tahu tanpa kita sudah berbelanja lebih daripada pendapatan tahunan kita.
Satu yang paling bagus tentang pembelian tunai ialah pelepasan daripada salah satu pemusnah kekayaan – faedah! Dengan membayar tunai, anda tidak perlu membayar kadar faedah yang tinggi disebabkan pemberian kemudahan berhutang (yang diberikan pelbagai nama) itu.
Secara umumnya, kebanyakan hutang adalah tidak baik. Melainkan beberapa jenis hutang yang lebih bagus dari apa-apa pembelian tunai. Namun kes-kes hutang baik ini adalah agak terpencil dan mempunyai banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Saya tidak akan bincangkan di sini disebabkan kita hanya membincangkan kenapa pembelian tunai adalah lebih baik daripada pembelian hutang.
Membayar secara tunai melibatkan emosi seseorang. Betapa wang yang susah payah diperoleh itu kini bakal bertukar milik. Sudah pasti sesiapa jua akan menggunakan wang susah payah ini untuk mendapatkan perkara yang paling mustahak dan memberi kesan besar dalam kehidupan sahaja.
Anda juga sebenarnya membantu merendahkan kos operasi perniagaan dengan cara ini. Perniagaan tidak perlu menggunakan kemudahan kredit, pemprosesan pembayaran dan bank yang mengeluarkan pinjaman pembelian tersebut (jika ada). Yang mana kesemua ini melibatkan kos dalam bentuk faedah atau caj-caj sama ada tersembunyi atau tidak.
Tetapi ramai rakyat Malaysia lebih suka berbelanja secara kredit. Mengapa ya?
Tidak dinafikan antara kebaikan menggunakan kad kredit ialah lebih mudah dalam proses berbelanja berbanding dengan menggunakan wang tunai. Ada sesetengah orang menganggap mengeluarkan wang kertas ataupun syiling daripada dompet menyusahkan ketika berbelanja kerana kadangkala mereka kekurangan wang ataupun wang mereka sering terjatuh, terutama wang syiling. Ini membuatkan mereka malu untuk mengambil wang-wang itu semula, terutama apabila wang syiling jatuh ke dalam lubang kecil.
Kad kredit lebih mudah digunakan berbanding dengan wang tunai. Jika kita hendak berbelanja dalam jumlah wang yang banyak, kita terpaksa membawa wang tunai yang banyak. Mengira wang tunai yang banyak juga menjadi masalah. Penggunaan kad kredit mengelakkan semua kesulitan ini. Kita hanya perlu menurunkan tandatangan pada skrip kecil yang mencatatkan jumlah perbelanjaan kita. Selain itu, jika melancong ke luar negara, kita terpaksa menukar wang tunai kita kepada mata wang aging. Walau bagaimanapun, dengan menggunakan kad kredit, kita boleh membuat bayaran dalam apa jua mata wang di seluruh dunia. Kita juga boleh mendapatkan mata wang asing melalui mesin juruwang (ATM) di seluruh dunia.
Kad kredit juga lebih selamat digunakan berbanding dengan wang tunai. Kemungkinan wang tunai tercicir atau dicuri amat besar, lebih-lebih lagi kalau kita terpaksa membawa wang tunai yang banyak ketika berbelanja di luar negara. Wang tunai yang tercicir atau dicuri tidak mungkin dapat diperoleh semula. Sebaliknya, kehilangan atau keciciran kad kredit mudah diatasi. Pemegang kad kredit hanya perlu menghubungi syarikat kad kredit untuk melaporkan kehilangan kad kreditnya. Syarikat kad kredit akan membatalkan kad kredit tersebut dengan serta-merta, menjadikan kad kredit itu tidak laku digunakan lagi. Ini akan melindungi pemegang kad kredit itu daripada menanggung kerugian atau meminimumkan kerugian yang ditanggung nya.
Walaupun baik menggunakan kad kredit, tetapi ada juga keburukannya. Seseorang itu akan bersikap boros ketika berbelanja. Dia tidak pernah berfikir dahulu ketika berbelanja, dia akan membeli apa sahaja yang berkenan di hati walaupun barang itu tidak diperlukannya. Walaupun kad kredit mudah ketika berbelanja tetapi ia akan habis juga jika kita berbelanja dengan boros. Ramai orang menyangka bahawa kad kredit ini boleh digunakan selamanya tetapi anggapan mereka salah. Kad kreditlah yang boleh membuat mereka menjadi bankrap ataupun muflis kerana berhutang dengan bank. Inilah salah satu keburukan penggunaan kad kredit yang amat ditakuti. Biarpun kita miskin tetapi janganlah sesekali kita berhutang. Buruk padahnya. Bak kata orang, “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Kita sudahlah miskin, berhutang pula. Oleh itu, kita haruslah pandai berbelanja jika kita menggunakan kad kredit.
Namun jika anda mahir menguruskan kewangan peribadi, tidak kira pembelian secara tunai mahupun hutang, ia akan sentiasa menjadi pembelian bijak dan memberikan pulangan yang baik dalam jangka masa panjang. Ia memang sukar dipelajari kecuali sudah ada asas yang kukuh.
Tetapi bagaimana pula jika anda seorang usahawan? Terutamanya usahawan kecil yang baru hendak memulakan perniagaan?
Sewaktu anda memborong barangan sama ada dari pembekal tempatan, anda tentu akan membayar secara tunai. Tidak ada pembekal yang baru berurusan dengan anda akan memberikan anda kredit. Anda tentu pernah mempunyai dilema sama ingin menjual secara tunai atau kredit.
Petua : Jangan Sekali-kali Menjual Secara Hutang!
Tapi mengapa?
Pertama sekali kita perlu faham, tunai atau cash adalah darah bagi perniagaan anda.
Apabila anda menjual secara kredit, beberapa perkara ini akan berlaku:
– Pembeli tidak mempunyai insentif atau tanggungjawab untuk menjual barangan anda. Jika tidak dijual, dia boleh pulangkan semula. Namun jika pembelian tunai dilakukan, sudah tentu pembeli akan berusaha lebih keras untuk menjual barangan itu kerana barangan itu sudah menjadi miliknya.
– Apabila anda membeli secara tunai dan menjual secara kredit, anda akan mengalami satu keadaan di mana anda akan kekurangan tunai dalam syarikat . Keadaan kekurangan tunai ini akan membantutkan perkembangan perniagaan anda kerana tunai adalah darah dalam perniagaan anda.
– Apabila membeli secara tunai dan menjual secara hutang, aset semasa (barang yang dijual secara kredit) syarikat anda tidak lagi berada dalam tangan anda, jadi anda berada dalam keadaan berisiko tinggi kerana apa saja boleh terjadi terhadap aset yang tidak berada di tangan anda. Mungkin pembeli kredit sedang mengalami masalah keluarga, mungkin pembeli mati atau terlibat dalam kemalangan, mungkin juga pembeli tidak membayar hutang anda sehingga bila-bila.
Di awal fasa perniagaan, jangan sesekali menjual secara kredit!
Pembelian Tunai + Penjualan Tunai = Ini biasa
Pembelian Tunai + Penjualan Kredit = Ini berbahaya.
Pembelian Kredit + Penjualan Tunai = Ini bijaksana
Pembelian Kredit + Penjualan Kredit = Ini biasa
Jangan jual dalam keadaan kredit walaupun anda berada dalam keadaan terdesak. Anda seharusnya mencari jalan untuk menjual secara tunai. Jika anda masih gagal, kaji barangan yang anda jual. Mungkin barangan ini tidak mempunyai permintaan yang mencukupi untuk dijual. Tukar kepada produk lain secepat yang mungkin. Jika barang anda mempunyai permintaan yang baik, sudah tentu orang akan membelinya secara tunai.
Baiklah, panjang lebar penerangan di atas, kebanyakannya memihak kepada tunai, betul?
Dalam menguruskan kewangan, aliran tunai merupakan aspek yang paling penting. Kalau hendak dipinjam definisi Wikipedia, ia berbunyi begini:
Aliran tunai adalah satu istilah umum yang digunakan secara berbeza bergantung kepada konteks. Ia mungkin didefinisikan oleh pengguna untuk tujuan mereka sendiri. Ia boleh merujuk kepada aliran sebenar yang lalu atau unjuran aliran yang akan datang. Aliran tunai boleh digunakan untuk mengira parameter-parameter:
-
untuk mengukur kadar pula ngan atau nilai sebuah projek.
-
untuk menilai masalah-masalah dengan satu kecairanperniagaan.
-
sebagai satu pengukuran alternatif bagi suatu keuntungan perniagaan apabila ia dipercayai bahawa konsep-konsep perakaunan terakru idak mewakili realiti-realiti ekonomi. Sebagai contoh, satu syarikat mungkin nampak untung tetapi menjana sedikit operasi tunai.
-
untuk menilai risiko-risiko di dalam satu produk kewangan.
Itu bahasa yang kompleks.
Dalam bahasa yang mudah, aliran tunai dibahagikan kepada dua iaitu aliran wang masuk dan aliran wang keluar. Aliran wang masuk adalah wang masuk seperti gaji, royalti, dividen dan aliran wang keluar adalah perbelanjaan yang dilakukan seperti shopping, bayar hutang pinjaman, sewa rumah dan makan minum. Kita perlu menguruskan aliran tunai agar sentiasa positif. Aliran wang masuk hendaklah sentiasa lebih besar daripada aliran wang keluar. Sekiranya berada dalam keadaan negatif kita memang mempunyai masalah kewangan atau pengurusan yang tidak cekap.
Cara terbaik untuk menguruskan aliran tunai adalah dengan merekod setiap aliran wang masuk dan aliran wang keluar. Tanpa rekod yang betul tentu susah bagi untuk mengira jumlah perbelanjaan dan pendapatan kita. menguruskan aliran tunai juga boleh diibaratkan menguruskan sebuah perniagaan. Setiap urus niaga yang dijalankan harus di rekod. Begitu juga kita menguruskan aliran tunai kita.
Contoh rekod perbelanjaan harian:
Tarikh |
Perbelanjaan |
Tunai |
Kad kredit |
24/03/2019 |
Sarapan pagi |
RM 2.00 |
|
24/03/2019 |
Suratkhabar |
RM 1.50 |
|
24/03/2019 |
Petrol |
RM 50.00 |
|
24/03/2019 |
Topup |
RM 10.00 |
|
24/03/2019 |
Makan tengahari |
RM 5.00 |
|
24/03/2019 |
Makan malam |
RM 4.00 |
|
24/03/2019 |
Tol |
RM 3.00 |
Setelah mengira aliran wang masuk dan aliran wang keluar, kita akan dapat mengetahui jumlah wang yang telah dibelanjakan dan baki pendapatan kita. Selepas itu kita boleh mengagihkan pendapatan kita untuk pelaburan, pelan persaraan, kesihatan, tabungan, simpanan dan lain lain.
Dalam era teknologi maklumat, tidak begitu susah untuk merekod belanjawan seharian. Kita boleh membuat rekod melalui Microsoft word atau pun excel. Terdapat juga software yang menyediakan application untuk menguruskan kewangan, belanjawan, perbelanjaan seharian, bulanan mahupun tahunan. Tanpa rekod yang betul kemungkinan wang kita akan hilang tanpa dikesan.
Tunai atau kredit-pastikan anda menggunakannya dengan berhemah?