“Kita pernah bercinta. Kita pernah melalui jatuh bangun dalam bercinta. Mencari cinta abadi itu adalah menjadi cita-cita. Untuk mengekalkannya, kita pulangkan semuanya semula kepada Allah.
“Selama perjalanan jatuh bangun bercinta itu, akhirnya cinta pada Allah itu sahajalah yang mampu memberi semangat untuk kita mencari cinta yang sebenar.
“Alhamdulillah, Allah telah kurniakan (cinta abadi) saya,” ujar Puan Sri Normala Samsudin,56, mengupas topik Mencari Rahsia Cinta Abadi yang menjadi perbincangan dalam program Mingguan Wanita Talkshow di Astro Prima 105.
Setelah bertemu cinta abadi, isteri kepada Tan Sri Azmi Khalid ini berpendapat untuk mengekalkannya memerlukan diri seseorang itu melakukan banyak perkara.
“Untuk mengekalkan cinta itu, pada peringkat pertama memerlukan usaha-usaha seperti contohnya kita perlu berubah.
“Pada permulaan awalnya sebagai seorang selebriti, kita hidup dalam dunia selebriti. Apabila kita berubah menjadi seorang isteri, niat saya ketika mula-mula jadi seorang isteri adalah berniat untuk jadi isteri yang solehah dan isteri yang baik.
“Saya juga mahu menjadi isteri yang patuh dan menurut pada suami. Alhamdulillah saya dapat apa yang saya impikan dan apa yang saya niatkan itu.
“Untuk mengekalkannya, saya pulang semula kepada Allah. Kita boleh merancang. Kita boleh bercita-cita macam-macam. Tetapi akhirnya kita akan berserah pada Allah juga.”
Pengajaran Daripada Perkahwinan Terdahulu
Perkahwinan terdahulu memberi pengalaman dan pengajaran dalam diri dalamnya.
“Kita pernah melalui usia muda. Waktu ini diri berada dalam keadaan tidak sabar dan tidak berkeruan dalam membuat sebarang keputusan.
“Kadang-kadang mungkin kita menyerah ini kepada takdir, bahawa setiap manusia itu ada kekal dan ada tidak dalam perkahwinan.
“Saya sebenarnya melihat bahawa ini adalah suratan. Kita perlu akur dengan apa yang telah disuratkan kepada kita.
“Di samping itu, saya ingatkan kembali di mana kita perlu pandai mengawal perasaan terutamanya jika diri seorang selebriti. Perubahan selepas menjadi seorang isteri itu amat penting.”
Nasihatnya lagi, jika sesuatu musibah itu berlaku pada diri, kita perlu melihat di mana kelemahan dan kesilapan diri kita sendiri. Pada masa yang sama kita perlu melihat apa yang perlu dilakukan kalau perpisahan itu berlaku.
“Kadang-kadang itu adalah takdir Allah yang mahu menguji kita. Adakah kita kuat dengan ujian itu. Saya memang menyerah semula kepada Allah. Kita mohon dan berdoa pada Allah kerana agar kita diberi cara untuk mengatasi kelemahan ini.”
Ini Cara Puan Sri Normala Pupuk Keharmonian Rumah Tangga
Cara Puan Sri Normala ini patut dijadikan sebagai panduan buat pasangan suami-isteri di luar sana.
Ujar Puan Sri Normala, seseorang isteri itu boleh merancang dalam rumah tangga dan mengikut sahaja apa yang disukai suami.
“Tetapi yang paling penting dalam rumah tangga adalah sifat kejujuran dan berterus-terang dengan suami. Walau kita hendak ke mana-mana sahaja, perlu beritahu suami. Walau suami tidak pernah bertanya, seseorang isteri itu perlu beritahu suaminya.”
Jelasnya, perkara remeh dan dianggap kecil ini sebenarnya amat penting dalam rumah tangga.
Dalam usia yang sudah matang juga, beliau akuinya kurang sensitif jika dibandingkan ketika usia muda.
“Saya tidak kisah jika suami tidak ingat birthday atau anniversary. Kita kena positifkan diri. Apa yang penting adalah hubungan erat bukannya anniversary dan birthday.
Kita kena rendahkan sikit keinginan kepada sesuatu. Apabila dia lupa, maafkan dia. Tolak ansur itu penting.”
Ingin mengikuti kupasan topik Mencari Rahsia Cinta Abadi ini, bolehlah mengikuti siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow pada pukul 8.00 malam di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD 121.