KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay sebagai seorang usahawan ikonik.
Beliau berkata pengasas syarikat YTL Group itu yang meninggal dunia pada Rabu pada usia 88 tahun telah meninggalkan legasi amat cemerlang terhadap organisasinya, komuniti dan negara.
“Rosmah (isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor) dan saya ingin merakamkan takziah kepada keluarga mendiang… semoga roh mendiang bersemadi dengan aman,” tulis beliau di dalam Buku Takziah Tetamu di kediaman Tiong Lay di sini, hari ini.
Najib dan Rosmah tiba di kediaman Tiong Lay di Damansara Heights pada kira-kira 5.40 petang untuk memberikan penghormatan terakhir dan meluangkan masa kira-kira setengah jam di kediaman itu.
Penerima anugerah berprestij ‘Order of the Ri–sing Sun’ daripada Maharaja Jepun itu meninggalkan isteri Puan Sri Tan Kai Yong, tujuh anak, 27 cucu dan lima cicit.
YTL Corporation Bhd dalam kenyataan pada Rabu berkata upacara keagamaan perhimpunan keluarga akan diadakan pada Khamis, Jumaat dan Sabtu pada 8.30 malam manakala upacara persemadian akan diadakan pada 10 pagi, Ahad (22 Okt) dan kemudiannya bertolak ke Nilai Memorial Park pada 12 tengah hari.
YTL Corp ialah antara 30 syarikat terbesar disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, membentuk antara syarikat komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI, indeks penanda aras utama bursa.
— BERNAMA