PELAKON dan penyanyi Izzue Islam menyentuh hati peminatnya apabila memuat naik kapsyen syahdu sempena hari ulangtahun kelahiran isterinya, Awin Nurin malam tadi,
Dalam ucapan terbabit, Izzue memohon maaf kerana gagal memberikan zuriat seperti yang diidamkan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.
“Minta maaf isteriku, rasanya masih banyak kekurangan I sepanjang jadi suami You.
“Belum lagi dapat bagi You baby idaman setiap pasangan bergelar suami dan isteri. Bercuti nak rileks-rileks berdua rehatkan diri rasanya sekali pun tak pernah sepanjang kita kahwin,” getus Izzue.
Malah, Izzue juga memohon maaf atas keterlanjuran perbuatan dan kata-katanya hingga pernah menyebabkan isterinya itu menangis.
“Kekadang selalu jugak terlepas cakap sampai buat u tersinggung. Tak cukup tu, i pernah jugak buat u terasa sampai u menangis,” tambah bekas anggota kumpulan Forteen itu.
Berterima kasih dengan budi baik dan kesetiaan Awin sepanjang bersamanya, Izzue juga sempat berseloroh dengan tabiat nakalnya.
“Isteriku, terima kasih sebab menjadi seorang isteri yang menerima kelemahan I.
“Tak pernah pun mengeluh walau tak cukup rest or tidur. Tak pernah bosan jadi driver i walaupun I kat sebelah dah berdengkur!
“Time I susah You ada malah You yang senangkan dan tenangkan I dalam segala hal! Sentiasa positif walau beribu manusia kiri kanan kita duk mengutuk. You are the best Isteriku! Selamat Hari Lahir,” tulisnya lagi.
Izzue dan Awin telah mendirikan rumah tangga pada 4 Jun 2013 selepas berkenalan lebih lima tahun.