BUKAN kisah menyelamat kucing atau anjing yang kita biasa dengar, namun cerita ini membuktikan setiap nyawa itu ada harganya.
Di bandar Bensheim, Jerman, petugas penyelamat haiwan menerima satu panggilan luar biasa, membabitkan seekor tikus yang tersekat di luar lubang saluran pembetungan.
Panggilan itu dibuat oleh seorang kanak-kanak perempuan yang identitinya tidak didedahkan.
“Tikus itu agak gemuk terutama di bahagian pinggulnya, membuatkan ia tersekat dan tidak mampu melepaskan diri dari lubang itu,” kata salah seorang penyelamat, Michael Sehr, kepada media tempatan.
Pasukan penyelamat yang turut disertai anggota bomba sukarela, turun dalam operasi itu pada Ahad, dengan kod ‘penyelamatan haiwan kecil’, lapor BBC.
Sehr dan pasukannya terlebih dahulu tiba di lokasi, namun gagal membebaskan tikus itu dari bahagian atas penutup lubang.
Selepas berjaya dikeluarkan, tikus itu dibebaskan kembali ke dalam saluran pembetung.
Sebaik sahaja dimuat naik ke laman Facebook pasukan penyelamat haiwan, beratus komen diterima yang rata-ratanya memuji khidmat yang diberikan pasukan itu.
Ditanya mengapa mereka sanggup bersusah payah demi seekor haiwan yang dikatakan sebagai haiwan perosak, ini jawapan Sehr.
“Kita perlu ada rasa hormat pada semua makhluk hidup,” kata Sehr sambil memaklumkan tiada caj dikenakan untuk menyelamatkan tikus itu.