KUALA LUMPUR: Sukan seni bela diri campuran (MMA) bukanlah mengenai pertarungan semata-mata, tetapi ia mengenai cara kita membawa diri ketika berada di dalam dan di luar gelanggang.
Demikian pandangan jaguh MMA negara, Saiful Merican ketika mengulas mengenai persepsi orang ramai terhadap sukan tersebut.
“Dalam sukan ini, tidak seharusnya kita hina orang lain kerana ia boleh menjadi sesuatu yang peribadi.
“Beza antara (MMA) barat dan Asia, ialah di Asia seperti ONE Championship, petinju ini dilihat sebagai wira dan ikon sukan bagi anak-anak muda. Tetapi di barat, budaya menghina orang merupakan cara mereka ‘menjual’ tiket seperti yang dipratikkan dalam gusti profesional seperti WWE,” katanya ketika ditemubual dalam program Mat Luthfi @astroawani.com, malam tadi.
Sukan MMA mendapat perhatian dunia sejak kebelakangan ini susulan pertembungan ‘kontroversi’ antara Conor McGregor dan Khabib Nurmagomedov di UFC 229 pada 6 Oktober lalu, yang berakhir dengan pergaduhan.
Kekecohan tersebut dikhabarkan tercetus akibat sikap McGregor yang sering mengejek dan menghina pihak lawan termasuk Khabib.
BACA: MMA: Khabib tundukkan McGregor, ‘mengamuk’ di UFC 229
Saiful yang juga Naib Presiden Persatuan Mixed Martial Arts Malaysia (MASMMA) berkata, di Asia peminat lebih sukakan individu yang bersikap merendah diri dan menghormati orang lain.
“Petinju ni nampak sahaja begitu di gelanggang, tetapi sebenarnya di luar mereka biasa sahaja.. baik, ada yang pendiam, dan ada yang suka bersembang.
“Seni bela diri ni ialah tentang bagaimana kita membawa diri kita di luar, ia tentang disiplin, menghormati orang lain dan bukannya suka ‘trash talk’ atau hina orang,” katanya.
BACA: Anda mahu jadi seorang ‘MMA fighter’?
Tambahnya, setiap petinju profesional harus ingat bahawa mereka adalah ikon untuk anak-anak muda, termasuk anak kecil, dan yang menonton kejohanan bukan setakat peringkat negara malah seluruh dunia.
“Jadi kita kena tunjuk contoh teladan yang terbaik lah. Saya percaya ibu bapa di Asia tidak mahu anak-anak mereka ikut macam tu… pegi sekolah hina orang, cakap mengenai keluarga, agama dan sebagainya,” ujar Saiful.
Selain itu, katanya di promosi seperti ONE Championship, mereka tidak menerima petinju yang tidak beradab.
“Mereka mahukan orang yang berbakat, yang datang dari keluarga susah, yang memang berjuang sejak dari kecil untuk menjadi seorang juara,” katanya.
Tambah Saiful, dia menyertai seni beladiri Muay Thai pada 1998 adalah kerana minatnya yang mendalam terhadap seni tersebut dan bukannya kerana wang atau populariti.