BANGKOK: Sungguh pun tewas buat pertama kali, atlet MMA wanita negara Jihin Radzuan tekad akan kembali lebih kuat dalam pertarungannya selepas ini.
Petinju berusia 20 tahun itu telah memberikan saingan yang hebat dalam pertarungannya dengan Gina Iniong, di ONE: Clash Of Legends di Bangkok, Thailand, malam tadi.
Meskipun begitu, Jihin yang kini mempunyai rekod kemenangan 5-1, telah ditundukkan oleh petarung Filipina itu menerusi ‘split decision’ (undian berbelah bagi).
Bagaimanapun, gadis dari Johor Bahru itu dilihat memberi tentangan sengit dalam ketiga-tiga pusingan perlawanan berkenaan.
Pusingan ketiga hampir menyaksikan kemenangan di pihak Malaysia apabila Jihin hampir mengenakan ‘submission’ (kuncian) terhadap Iniong.
BACA: Jihin ‘Shadowcat’, si gadis MMA pencinta kucing
Namun Inion berjaya melepaskan diri dari kuncian tersebut, sekali gus membawa pertarungan hingga ke tiga pusingan yang melihat keputusan kemenangan diberikan kepada Iniong.
Sementara itu Jihin dalam reaksinya di Instagram Story mengakui dia agak gementar kerana Iniong merupakan antara atlet terbaik kategori atomweight.
“Saya dah belajar dari kesilapan, dan seperti yang anda tahu Iniong adalah antara atlet terbaik atomweight.
“Saya akan kembali lebih kuat. Walau apa pun terima kasih banyak kepada yang menyokong saya,” katanya.
Ini merupakan kali pertama gadis yang diberi jolokan nama ‘Shadow Cat’ itu beraksi di luar negara.
Dalam pertarungan yang lepas, Jihin telah menewaskan petarung Taiwan, Jenny Huang di Kuala Lumpur pada Januari lalu.