MESKIPUN Chou dilahirkan dalam keadaan fakir miskin, dia masih mengekalkan keperibadiannya dengan hati yang cekal untuk menjaga orang tua atau sesiapa yang memerlukan.
Pada suatu hari, Chou tidak terjangka perbuatan baiknya akan terbalas apabila dia menyelamatkan seorang rahib yang dikejar penjahat. Chou dikurniakan skil Kung-Fu Asia kuno dan diberitahu dunia ini memerlukan seorang adiwira untuk mengakhiri kekacauan yang berlaku ketika itu.
Chou kemudiannya memula langkah ke Land of Dawn untuk menjadi seorang pahlawan sejati.
Ini adalah cerita fantasi karakter hero yang dikuasai dengan sangat cemerlang oleh Mohamad Amir Afdhal Ruzlan atau lebih senang dikenali sebagai Syno dalam dunia Mobile Legends.
Dengan 2,682 perlawanan (sekatat 1 Julai 2018) menggunakan hero fighter Chou, Syno mengekalkan rekod kadar kemenangan yang baik iaitu sebanyak 88.3 peratus.
Syno yang juga sebahagian daripada pasukan ICON MY juga sering berada di carta kedudukan terbaik dunia bagi penggunaan hero itu.
Pada perlawanan separuh akhir kelayakan Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL) antara ICON MY dengan We Own World (Wow) yang berlangsung semalam, menyaksikan Syno menggunakan hero yang sinonim dengan dirinya itu.
Walaupun Syno telah menggunakan hero tersebut lebih 2,000 kali, penerbit permainan video mudah alih tersebut, Moonton akan melakukan proses mengemaskini dalam beberapa tempoh yang kadang kala memberi impak kepada prestasi sesuatu hero atau barangan yang digunakan untuk hero tersebut.
Kemaskini yang terbaharu yang dilakukan Moonton adalah pada 28 Jun lalu iaitu dua hari sebelum perlawanan kelayakan kedua bagi peringkat Malaysia bermula.
Tidak melihatnya sebagai masalah, Syno meneliti dan memahami apakah barangan yang sesuai untuk meningkatkan keupayaan Chou pada tahap maksima.
“Build damage (barangan bagi meningkat kapabiliti musnah) Chou sebenarnya masih sesuai digunakan tapi dilihat dalam kejohanan atau rank.
“Chou merupakan hero fighter paling kuat jika digunakan barangan musnah (damage) kerana ia mempunyai nilai musnah kritikal yang lebih banyak daripada hero fighter lain.
“Tambahan pula apabila barangan Windtalker yang telah dikemaskini pada kelajuan serangan pada barangan itu yang dilihat semakin tinggi bergabung dengan emblem custom assassin pada level paling maksima,” katanya kepada Astro AWANI sejurus kemenangan 2-0 ke atas Wow semalam.
Menurut Syno, dia mendapat inspirasi bagi menggunakan barangan build damage untuk hero Chou apabila menonton sebuah video YouTube oleh pemain bernama Yinsa.
“Selepas saya lihat video Yinsa itu, saya yakin build damage Chou sangat sesuai dengan meta (strategi paling efektif) sekarang.
“Namun jika Chou menggunakan build damage, dalam sesebuah pasukan itu perlu ada dua hero tank atau satu hero tank bersama satu hero sokongan (support),” tambah Syno.
Kemenangan Syno bersama ICON MY semalam melayakkan mereka ke pusingan MPL yang dijangka berlangsung Ogos depan.
Menurut Syno, dia dan pasukannya mula menunjukkan kefahaman antara pasukan yang lebih baik menerusi pemilihan hero masing-masing.
“Keserasian masih ada kekurangan tapi komunikasi antara kami masih ada. Kami lebih fokus kepada objektif dan lebih peka dengan kedudukan peta dalam permainan,” tambahnya.
ICON MY dan Borneo Dragon FV yang menang pada pusingan separuh akhir semalam bakal sertai Bigetron E-sports (sebelum ini dikenali sebagai IDNS SG), Flash Tyrants, AirAsia Saiyan, Mystic Burden Saiyan Reborn dan Traitor untuk bersaing di peringkat liga yang dijangka berlangsung pada 10 Ogos nanti.
MPL Malaysia dan Singapura kembali untuk musim kedua dengan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM399,000.
Bertemakan ‘Kebangkitan Legenda’, ia membuka tirai dengan tiga pusingan kelayakan bermula 22 Jun lalu sehingga 8 Julai depan.