KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merancang konsep perlindungan kesihatan nasional yang berlainan daripada model Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya sedang menilai pelbagai opsyen bagi memberi rakyat golongan B40 lebih faedah dan akses kepada penjagaan kesihatan.
Ia termasuk kemungkinan penerapan perlindungan takaful kesihatan, katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Faedah penjagaan kesihatan berkualiti akan memberi lebih tumpuan kepada saringan kesihatan, aktiviti pencegahan serta pendidikan dan promosi kesihatan, terutamanya bagi penyakit tidak berjangkit dan penyakit kronik di peringkat pesakit luar.
“Opsyen berteraskan takaful pula akan menekankan pembiayaan model-model rawatan yang berkesan dan kos-efektif seperti rawatan harian dan rawatan pesakit dalaman,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan sebegini akan memberi nilai tambah kepada jaringan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada samada di klinik atau hospital awam.
“Sebaliknya, perkhidmatan kesihatan awam akan sentiasa ditambahbaik secara berterusan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau menjawab soalan dari S. Kesavan (PH – Sungai Siput) yang bertanya mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Skim Peduli Sihat Nasional di seluruh negara dan sama ada Kerajaan Persekutuan mengikut model di negeri Selangor bagi seluruh negara.