KUALA LUMPUR: Individu yang berdepan tekanan dan masalah psikolgi akibat hilang pekerjaan susulan impak wabak COVID-19 perlu mengenal pasti kekuatan dan kemahiran yang dimiliki.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Haslinda Abdullah berkata ia penting bagi mengelakkan situasi yang hadapi menjadi semakin buruk.
“Mereka harus fokus dengan kekuatan yang mereka miliki dan apa kekurangan mereka, dan selepas itu kita boleh mengajak mereka untuk sama-sama berbincang bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini terutamanya bahagian kewangan.
“Apabila kita bercakap mengenai kewangan, perkara-perkara asas, berkaitan fisiologi, emosi dan sebagainya, perkara pertama adalah kita kena tahu kekuatan kita dari segi sumber kewangan dan kemahiran yang kita ada, dan daripada situ kita kena fokus,” katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sokongan yang boleh diberikan oleh ahli keluarga dan mereka yang terdekat untuk membantu mangsa yang berdepan masalah psikologi akibat kehilangan pekerjaan.
Jabatan Perangkaan sebelum ini memaklumkan jumlah pengangguran untuk suku pertama tahun ini berada pada 546,600 meningkat 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.
Peningkatan pengangguran itu berkemungkinan susulan kebanyakan syarikat terpaksa gulung tikar atau mengecilkan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Mengulas lanjut, Dr Haslinda berkata mana-mana individu yang kehilangan pekerjaan berdepan dengan kesan psikologi dan tekanan yang berbeza.
Katanya, tekanan yang teruk boleh mengakibatkan mangsa mengalami kesan fizikal seperti muntah-muntah, sakit dan gatal tangan.
“Biasanya bergantung kepada sumber-sumber perkara yang mereka sedang alami. Kesan kepada pekerja yang mungkin terkesan akibat COVID-19 adalah rasa bimbang, risau dan ada juga yang mengalami serangan mengejut.
“Saya juga dapati ramai yang kerap rasa nak marah dan tak dapat tidur malam, (malah) ada juga yang terkesan secara fizikal. Kalau yang teruk sangat itu mungkin akan mengalami rasa nak muntah, sakit-sakit atau gatal tangan. Tekanan yang teruk itu mungkin diterjemahkan secara fizikal,” ujarnya.