MACHANG: Biarpun cacat kedua belah tangan sejak lahir, namun ia tidak menjadi penghalang bagi Rahim Yusoff, mengusahakan ternakan lembu untuk dijual kepada orang ramai bagi meraih pendapatan menampung keluarganya.
Rahim, 54, berkata dia mula menternak lembu sejak enam tahun lalu bermodalkan RM2,500 dengan membeli seekor lembu bunting daripada seorang penternak lembu di Machang.
“Pada Aidiladha tahun lepas, saya berjaya menjual 10 ekor lembu bagi tujuan ibadah korban sekitar harga RM2,500 hingga RM3,700 seekor untuk memenuhi permintaan penduduk setempat.
“Dengan pendapatan yang diperoleh ini, sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaan kami lima beranak daripada terus menagih simpati dan mengharapkan bantuan orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Pangkal Gong, Pulai Chondong di sini pada Rabu.
Katanya dia kini mempunyai lima ekor lembu iaitu tiga yang dipelihara sendiri manakala dua ekor lagi melalui sistem pawah iaitu milik penduduk kampung itu yang menyuruhnya menjaga ternakan mereka dan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.
Bapa kepada tiga anak ini berkata untuk mengelakkan ternakan dijangkiti penyakit yang boleh menyebabkan kematian termasuk penyakit kuku dan mulut, dia akan mendapatkan khidmat veterinar untuk memberi suntikan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
“Bagi makanan, selain memberi palet berharga RM31 untuk 50kg yang hanya mampu bertahan tiga hari, saya juga akan melepaskan lembu di bendang berdekatan, sekitar waktu pagi hingga petang untuk meragut rumput.
“Lembu-lembu ini sudah jinak dan terbiasa dengan rutin harian seolah-olah ia sudah memahami, sekali gus memudahkan saya untuk mengawal walaupun dari jauh,” katanya yang cekap menguruskan ternakannya termasuk mencuci kandang dan memberi lembunya makan walaupun hanya menggunakan kakinya.
Katanya sebelum ini dia juga memelihara itik, namun tragedi bah kuning pada 2014 menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila 400 itik yang dipelihara mati dibawa arus banjir dan walaupun gagal ketika itu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit berusaha dan mencuba nasib dalam bidang ternakan lembu.
Rahim berkata dia dan isteri, Noraidah Hamzah, 45, turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 dan RM250 setiap seorang.
Katanya, dia juga berharap agar usaha dan kecekalannya itu dapat dijadikan inspirasi dan tidak menjadikan kekurangan diri kepada golongan yang senasib dengannya sebagai penghalang untuk berjaya.
— BERNAMA