KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui mati di hadapan bilik pengawal keselamatan petang tadi.
Mangsa, Mohd Faizal Halim, berusia 39 tahun ditemui terbaring di dalam bilik pengawal di pintu masuk sebuah sekolah agama di Ulu Klang, Kuala Lumpur jam 6 petang tadi.
Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui di luar pintu pengawal yang dipercayai keluar untuk mendapatkan pertolongan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekeliling lokasi kejadian sedang diteliti bagi mengenal pasti punca kejadian.
Siasatan forensik tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian, dan setakat ini polis mengklasifikasikannya sebagai kes kematian mengejut.
Menurut Nik Ros, laporan bedah siasat akan menentukan punca kematian mangsa.