KUALA LUMPUR : Pengunduran Tan Sri Razali Ismail sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) seharunya jadi satu peringatan kepada kerajaan bahawa janji pembaharuan dalam aspek hak asasi manusia masih tinggal janji kosong.
Setiausaha Agung Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (FIDH) Debbie Stothard berkata pengunduran ikon diplomatik tersohor dunia yang berasal dari Kedah Darul Aman itu satu kehilangan besar.
“Kerajaan dan rakyat Malaysia perlu tahu bahawa status Malaysia dari kaca mata global sudah meningkat, tetapi kini semakin jatuh apabila melibatkan tuduhan penglibatan pihak berkuasa dalam kes kehilangan individu tertentu.
“Bukan pendedahan yang menyebabkan status Malaysia jatuh, tetapi kegagalan kerajaan untuk memberi maklum balas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam rakaman Agenda AWANI pada Isnin.
Razali Ismail umum letak jawatan sebagai Pengerusi SUHAKAM dua minggu sebelum tempoh tamat tugasnya.
Beliau yang memegang jawatan pengerusi sejak 2016 sepatutnya mengakhiri tempoh tugas selama tiga tahun pada 27 April.
Menurut beliau, surat meletak jawatan telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas Razali, tugasnya dalam SUHAKAM hanya advokasi hak asasi manusia dan ia tidak membawa perubahan besar.