Pepatah Melayu mengatakan “Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri” mungkin tidak sesuai untuk menggambarkan keadaan pekerja asing di Malaysia. Sebaliknya, bagi pendatang asing ini mungkin mereka berfikiran, “Jika negara orang memberi emas, maka lebih baik melombong emas dari terus menerima hujan batu”.
Sukar untuk menggambarkan kebanjiran pekerja asing di negara kita. Tentunya lebih sukar lagi untuk mengelakkan kehadiran mereka ke sini. Di sektor perladangan dan pembinaan, kehadiran pekerja asing adalah diperlukan akibat ketandusan pekerja tempatan. Penduduk tempatan kebiasaannya memilih kerjaya mereka, sangat kurang yang mahu bekerja di ladang dan sektor pembinaan. Pekerja tempatan hanya mahukan kerja yang menawarkan pendapatan yang lumayan, selesa dan tidak berbahaya. Ada antara pekerja tempatan yang lebih suka bekerja di sektor perkilangan jika dibandingkan dengan di sektor perladangan atau pembinaan. Kedatangan pekerja asing ini, yang majoritinya datang dari negara Indonesia, Myanmar, Afrika, Bangladesh dan Pakistan, diakui mempunyai kebaikan dan juga keburukan kepada negara kita.
Jika dilihat daripada statistik yang diambil sehingga akhir bulan Ogos 2011 menunjukkan jumlah penduduk Malaysia adalah sekitar 27,728,700 orang, meliputi kaum Bumiputera 61.8 peratus, Cina 22.9 peratus, India dan lain-lain 8.1 peratus. Penduduk bukan warganegara pula berjumlah 7.1 peratus.
Daripada sejumlah 10,889,500 tenaga buruh di Malaysia pula, statistik menunjukkan yang 57.3 peratus daripada jumlah tenaga buruh di Malaysia terdiri daripada Bumiputera; kaum Cina pula 24.8 peratus sementara India dan lain-lain sebanyak 8.2 peratus. Tenaga buruh dalam kalangan bukan warganegara pula berjumlah 9.7 peratus. Angka yang diberi mengejutkan kita, menunjukkan peratus tenaga buruh bukan warganegara yang terdapat di negara kita sebenarnya lebih tinggi daripada jumlah kaum India dan lain-lain di negara ini!
Terdapat beberapa perbezaan apabila memperkatakan tentang pengambilan pekerja tempatan daripada pekerja asing, juga sebaliknya. Di bawah ini, diterangkan antara beberapa perbezaan yang ketara.
Motivasi
Produktiviti dan motivasi bagi seseorang individu saling berhubung kait antara satu sama lain. Mereka yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi, maka akan menjadi semakin tinggi produktiviti nya. Begitu pula sebaliknya.
Syurga Dunia. Ya, negara ini umpama syurga dunia bagi rakyat asing untuk mencari rezeki terutamanya mereka yang datang dari negara yang ekonominya berada pada tahap yang rendah seperti Indonesia, Nepal, Myanmar dan Vietnam. Punca utama mendorong mereka untuk sanggup meredah lautan dan daratan untuk datang ke negara ini adalah kerana ekonomi negara kita yang jauh maju berbanding dengan ekonomi di negara mereka sendiri. Mereka miskin, mempunyai kehidupan yang susah apabila tinggal di negara asal, namun apabila datang ke sini, mereka akan mendapat kerja dan dapat pula menghantar pulang wang kepada ahli keluarga yang masih tinggal di negara asal. Ini motivasi bagi diri mereka. Mendapat pendapatan lumayan di Malaysia merupakan satu tarikan, rangsangan dan dorongan kepada mereka sehingga ada yang sanggup melanggar undang-undang dan masuk ke negara ini dengan menggunakan pelbagai cara yang tidak sah seperti menggunakan laluan masuk yang tidak sah, menggunakan pas lawatan sementara, menipu pas pengajian, ataupun berkahwin dengan warganegara Malaysia sendiri. Dari segi kerja pula, sudah tentu mereka akan bekerja bersungguh-sungguh demi mencari sesuap nasi dan mengenangkan ahli keluarga yang ditinggalkan di kampung halaman.
Walau bagaimanapun berbeza dengan penduduk tempatan. Ada yang gemar memilih pekerjaan, dan mahukan kerja yang senang sahaja. Ada juga yang malas untuk membuat kerja tapi mahukan gaji yang tinggi. Kebanyakan yang masih di bawah tanggungan ibu bapa pula, bekerja ala kadar sahaja kerana mengetahui jika tidak bekerja pun, ibu bapa masih mampu memberi wang kepada mereka. Ada juga pihak pengurusan yang terpaksa mengeluarkan modal yang lebih untuk mengadakan kursus-kursus motivasi bagi menaikkan semangat pekerja mereka apabila melihat produktiviti syarikat adalah tidak seperti yang diharapkan. Hal ini tentu dapat dielakkan sekiranya pekerja itu sendiri mempunyai minda dan sikap ingin bekerja keras untuk mencari rezeki yang halal.
Kadar Upah Yang Lebih Rendah Berbanding Pekerja Tempatan
Kebanyakan majikan gemar mengambil pekerja asing disebabkan kadar upah mereka yang lebih rendah. Pekerja asing ini ada antara mereka yang tidak kisah jika diberi gaji yang rendah, semata-mata untuk mengelakkan saingan. Ada juga gaji yang ditentukan oleh agen mereka sendiri yang sudah tentunya tidak akan berkira dengan bayaran bulanan yang diterima oleh pekerja asing ini, yang penting komisen yang masuk ke dalam poket mereka jika majikan bersetuju mengambil pekerja asing ini. Majoriti masyarakat Malaysia juga lebih memilih untuk mengambil pembantu rumah disebabkan gaji mereka yang murah jika dibandingkan dengan menghantar anak ke pusat jagaan harian, yang memerlukan bayaran dibuat mengikut bilangan anak! Pembantu rumah ini juga bukan sekadar mengasuh anak, tetapi dapat juga meringankan beban kerja-kerja di rumah.
Berbanding dengan pekerja tempatan, ada yang akan menolak kerja yang ditawarkan jika gaji tidak setimpal dengan kelayakan mereka. Bagi yang mempunyai kelulusan lebih tinggi, mereka ini lebih senang bekerja di sektor yang menawarkan pendapatan lumayan dan persekitaran yang selesa, kononnya setimpal dengan usaha mereka belajar hingga berjaya. Ada yang lebih rela menjadi penganggur daripada menerima tawaran kerja dengan gaji yang tak setimpal. Bagi mereka yang tiada desakan hidup pula, ada yang tidak kisah untuk menganggur berbulan lamanya.
Gejala Sosial dan Kadar Jenayah
“Masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing mengembek”
Sikap yang jarang ada dalam diri pekerja asing. Ada dalam kalangan pekerja asing ini yang membawa bersama budaya mereka yang sudah tentunya berbeza dengan budaya masyarakat tempatan. Perbezaan budaya menyebabkan ada antara mereka yang tidak segan silu berpelukan antara lelaki dan perempuan di khalayak ramai, berpegang tangan apabila bersama kaum sejenis, mengenakan pakaian yang tidak bersesuaian seperti hanya bercelana pendek atau berkain sarung apabila berada di tempat awam. Ramai juga dalam kalangan pekerja asing ini yang duduk bersama di rumah kongsi tanpa mengira jantina atau status diri.
Kebanjiran pekerja asing ini juga menggalakkan kes-kes jenayah seperti bunuh, pergaduhan, rompak, samun dan rogol. Kes pembuangan bayi juga tidak mustahil turut disumbangkan oleh pekerja asing ini.
Begitu juga, terdapat kes-kes anak gadis yang dijanjikan janji-janji manis dan kemudiannya dilarikan oleh mereka yang datang dari Indonesia. Pada awal tahun 2002, kerajaan pernah mengenakan tindakan agresif dengan membekukan seketika pengambilan pekerja asing dari Bangladesh kesan daripada laporan yang mengatakan mereka ini mengganggu isteri orang dan anak gadis di khalayak ramai tanpa rasa takut.
Masalah Komunikasi
Di restoran-restoran besar, kedai mamak, rangkaian kopitiam atau hotel-hotel, kebanyakan majikan lebih menyukai khidmat pekerja asing atas faktor kadar upah yang murah. Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak tahu berbahasa Malaysia, ataupun Bahasa Inggeris. Maka akan terjadi lah masalah seperti lain yang dipesan, lain yang dapat ataupun apa yang dipesan langsung tidak dapat! Apabila bercakap tentang industri yang banyak memerlukan komunikasi dengan pelanggan, perkara seperti ini tidak boleh dipandang remeh. Mutu perkhidmatan akan terjejas, dan lebih teruk lagi jika pelanggan beralih ke tempat lain.
Masalah ini tentunya tidak akan terjadi jika kita menggaji pekerja tempatan. Contohnya premis makanan segera yang kebanyakannya menggaji remaja dan warga tempatan demi mengelakkan masalah komunikasi.
Pertukaran Teknologi dan Menaikkan Imej Negara
Kedatangan pekerja asing untuk bekerja di negara kita, tidak lah semua nya mendatangkan keburukan. Ada juga kebaikannya apabila kita menggaji mereka ini. Pekerja asing yang bekerja dalam kategori tenaga buruh mahir dan separuh mahir dengan institusi-institusi tempatan boleh berkongsi pengalaman dengan pekerja tempatan lantas membenarkan pekerja tempatan itu tadi mempelajari dan memperoleh pengetahuan dan selok belok teknologi baru. Tenaga buruh mahir ini ada yang datang bekerja melalui program usaha sama yang dilakukan oleh pihak kerajaan atau organisasi tertentu. Begitu juga sebaliknya, apabila rakyat tempatan ditawarkan bekerja di luar negara, mereka berpeluang untuk mendapat pendedahan cara kerja masyarakat di sana dan membawa balik ilmu yang dipelajari untuk pembangunan negara.
Kedatangan rakyat asing ke Malaysia juga dapat membantu menaikkan imej negara. Mereka ini akan mempromosikan negara kita kepada ahli keluarga dan kenalan, secara tidak langsung dapat membantu industri pelancong negara untuk terus berkembang. Pelabur asing juga akan melihat kedatangan pekerja asing ini sebagai petunjuk bahawa ekonomi negara adalah berada pada tahap yang mantap dan berkembang. Negara Malaysia akan dilihat sebagai contoh negara yang maju ekonominya dan aman makmur. Dengan itu pelabur yang tertarik dengan imej yang diberikan, akan bersedia untuk membuat lebih banyak pelaburan di Malaysia.
Kesimpulan
Benarkah kebanjiran pekerja asing ke negara kita mendatangkan lebih banyak keburukan dari kebaikan? Benarkah rakyat kita yang memilih kerja? Adakah terdapat alasan lain untuk majikan tidak mengambil pekerja asing? Mungkin kah majikan juga lebih cenderung kepada pekerja asing semata-mata kerana gaji mereka rendah, tidak perlu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau mungkin mereka mempunyai alasan lain yang lebih kukuh?
Terdapat kebaikan dan keburukan menggaji pekerja asing ini. Pekerja asing yang sah bukan sahaja dapat menyumbangkan sumber tenaga mereka demi untuk membangunkan dan mempercepatkan arus pertumbuhan negara. Pekerja asing ini juga dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor yang tidak diminati oleh pekerja tempatan.
Kerajaan harus lebih menggalakkan golongan belia untuk bekerja. Sukatan pelajaran pada peringkat menengah atau selepas itu haruslah memenuhi keperluan industri. Kerajaan juga wajar menawar kursus-kursus selepas tamat pengajian tinggi, bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai kemahiran, memahirkan diri mereka agar layak memenuhi keperluan sumber tenaga kerja.
Artikel ini cuma menceritakan sedikit perbezaan pendapat antara menggaji pekerja asing dan pekerja tempatan. Tidak salah untuk menggaji pekerja asing, namun jika terdapat peluang maka majikan perlu mendahulukan pekerja tempatan. Kebanjiran pekerja asing telah merampas pekerjaan yang sebelumnya dilakukan oleh pekerja tempatan. Itu perkara yang amat kita takuti, apabila pekerja tempatan merempat di bumi sendiri!