LANGKAWI: Pakatan Harapan (PH) diyakini tidak akan menjadi kerajaan sepenggal seperti yang dicanang pihak-pihak tertentu, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.
Keyakinan tidak akan bergelar kerajaan sepenggal, kata Perdana Menteri, sekiranya semua individu yang berada dalam gabungan itu mampu menonjolkan kelebihan dan kebaikan yang telah dilaksanakan mereka kepada rakyat.
Apa yang perlu diketahui, kata Dr Mahathir, masalah utama yang dihadapai kerajaan PH ketika ini ialah membersihkan pelbagai ‘kekotoran’ termasuk hutan yang banyak ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dalam masa sama, Dr Mahathir menegaskan, rentetan lima kekalahan PH dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini juga tidak boleh dijadikan cerminan utama dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
“Saya tak fikir PH akan jadi kerajaan sepenggal, masalah pertama kita hadapi problem cukup banyak yang ditinggal kerajaan dulu, tak sama macam tahun 1981 saya masuk semua all in place.
“Saya buat decision, semua buat carry out (berjaya laksanakan) sekarang ini kita kena bersihkan pentadbiran.
“Kita kena cari duit untuk bayar hutang, Kita dapati orang dahulu cekap terpaksa dibersara kerana terlibat rasuah, orang (yang) ambil alih (kesemuanya) orang baharu (tapi) tidak secekap orang lama.
“Akhirnya kerajaan PH pula tak pandai nak cerita (kejayaan kerajaan) apa yang mereka buat. Kita kalah dalam tiga hingga empat PRK tapi itu tidak bermakna kita akan kalah dalam PRU besar (PRU15). Itu Reuters punya pendapat. Entitle to their opinion,” kata Dr Mahathir.
Perdana Menteri berkata demikian selepas mengadakan lawatanke Projek Demonstrasi 5G di 5G Command Centre Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi pada Isnin.