KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd meningkatkan langkah keselamatan di semua salurannya, berikutan beberapa pita magnetik mengandungi data sokongan telah hilang dalam perjalanan semasa satu operasi rutin.
Bagaimanapun, CIMB Group mengesahkan pita tersebut tidak mengandungi sebarang maklumat pengesahan peribadi seperti Nombor Pengesahan Peribadi (PIN), kata laluan atau nombor Nilai PengesahanKad (CVV).
“Sesetengah pita tersebut mengandungi maklumat tertentu pelanggan CIMB Bank dan anak-anak syarikatnya. Berikutan siasatan menyeluruh dan terperinci, pihak bank mendapati tiada bukti bahawa maklumat tersebut telah dikompromi sama sekali,” menurut CIMB Group dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak bank memilih untuk mengambil langkah konservatif dalam menitikberatkan keselamatan dan perlindungan data, dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa selain menggandakan usaha untuk melindungi kepentingan para pelanggan.
Oleh kerana pita tersebut mengandungi data sokongan, maklumat pelanggan masih lagi bersama CIMB.
Berikutan insiden itu, CIMB telah memberhentikan sementara beberapa perkhidmatan melalui telefon seperti penukaran alamat, nombor telefon, e-mel bagi kad debit serta kad kredit; pemindahan wang/urusan pembayaran tanpa T-PIN dan permintaan T-PIN baharu.
“Buat masa ini, tiada apa-apa langkah yang perlu diambil para pelanggan. Bagaimanapun, CIMB menyarankan agar para pelanggan sentiasa berwaspada dan jika curiga, sila rujuk saluran maklumat rasmi CIMB sama ada melalui laman web utama, pusat panggilan perkhidmatannya atau cawangannya di seluruh negara.
Ketua Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya mengambil berat akan tanggungjawab terhadap para pelanggan dan yakin langkah-langkah tambahan tersebut akan terus memelihara keselamatan transaksi para pelanggan
“Walaupun ini adalah satu insiden terpencil, kami telah mengkaji semula dan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan dan memperbaiki proses kami untuk memastikan ia tidak berulang.
“Kami juga memohon maaf jika peningkatan tahap dan langkah-langkah keselamatan buat masa ini menyulitkan pelanggan. Ketahuilah bahawa kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang risiko susulan insiden ini,” katanya
Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi mana-mana nombor berikut: +603 6204 7788 (Perbankan Pengguna); +603 6204 7799 (Kad Premier); 1300 88 5300 (Utama); 1300 88 8828 (Pusat Panggilan Perniagaan – Perbankan Komersial/Perusahaan) dan 1300 88 8068 (Pusat Panggilan Perniagaan – Korporat).
Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui mana-mana cawangan CIMB atau halaman web melalui www.cimbbank.com.my or www.cimb-bizchannel.com.my. – BERNAMA