Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan melancarkan kempen Raya Bersama PKNS dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee dan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) bagi membantu usahawan menghadapi cabaran perniagaan ketika wabak Covid-19.
Program yang diteruskan untuk tahun kedua ini kini melibatkan 51 usahawan di bawah program PKNS BizClub bermula daripada 15 April hingga 15 Mei 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, produk yang ditawarkan usahawan PKNS meliputi pakaian raya, kuih dan biskut raya, keperluan kecantikan serta aksesori bersempena sambutan Syawal akan datang.
“Kami sangat berbesar hati kerana dapat meneruskan kerjasama strategik ini untuk tahun yang kedua bersama salah satu platform e-dagang terbesar di rantau ini, Shopee dan mendapat sokongan penuh daripada SITEC dalam merancakkan lagi ekonomi digital di Selangor,” katanya.
Tambah Azizi, program Raya Bersama PKNS ini diharapkan dapat menjadi medium terbaik untuk usahawan PKNS mendepani cabaran perniagaan ketika negara sedang menghadapi wabak Covid-19.
Melalui inisiatif ini, semua usahawan PKNS akan dikumpulkan dalam satu platform yang akan diiklankan di halaman utama laman web Shopee dan pembeli juga berpeluang untuk menerima ‘coins cashback’ sehingga 20 peratus apabila mereka melakukan pembelian bersama usahawan PKNS.