KUALA LUMPUR: Perlu ada strategi yang mampan dan usaha yang bersepadu antara agensi kerajaan dalam memastikan murid-murid di luar bandar dan pendalaman, tidak terpinggir dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian.
Menurut Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Mohamad Ali Hasan, jurang digital itu perlu ditangani terlebih dahulu dengan sebaik mungkin.
Sebagai langkah permulaan, ujarnya lagi, perlu ada usaha untuk mendapatkan input semaksimum mungkin dari pakar e-learning (pembelajaran atas talian) di seluruh negara bagi memastikan inisiatif itu menyeluruh dan berkesan.
“Kita cadangkan Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Negeri sebagai pusat koordinasi setempat, dan kita harapkan dapat dipastikan akses dan kandungan tidak membebankan penilaian dan pemantauan berkesan.
“Juga kita harap pendekatan yang digunakan pelbagai, berbentuk interaksi kemanusiaan, serta mempunyai elemen pengajaran jasmani, emosi, rohani intelek dan sosialisasi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
BACA: Masalah internet, infrastruktur P&P di rumah jadi keluhan rakyat Malaysia – Kajian
Pada 10 April lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta Kementerian Pendidikan melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home-based learning sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, ia akan dilakukan secara berterusan sehingga sesi persekolahan dibuka semula.
Namun, berdasarkan tinjauan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), sebanyak 48 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai akses komputer di rumah untuk tujuan pembelajaran.
Manakala, 23 peratus atau dianggarkan 1.3 juta pelajar tidak mempunyai akses internet.
Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, beliau mengharap agar pandangan ibu bapa dan penjaga, serta guru-guru sebagai pemegang taruh dalam inisiatif ini juga diberi keutamaan dalam memastikan ia benar-benar berkesan.