GEORGE TOWN: Polis sedang melakukan siasatan berhubung video seorang wanita yang didakwa mengasari seorang bayi di Tanjung Tokong Lama, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata pihaknya telah berjaya mengesan seorang wanita berusia 34 tahun, yang dikatakan pengasuh bayi itu dan telah merakamkan percakapannya.
Menurutnya, perbuatan wanita itu terbongkar apabila berjaya dirakam seorang individu yang kemudiannya menghantar klip video tersebut kepada seorang wanita lain yang kemudiannya bertindak membuat laporan polis.
Jelas Che Zaimani, hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Namun mangsa dirujuk ke hospital untuk pemantauan daripada agensi lain dan juga pakar kanak-kanak.
Berdasarkan hasil siasatan awal polis, kejadian dipercayai berlaku kira-kira sebulan yang lalu.
Polis juga mendakwa ibu bayi berkenaan juga mengakui tidak pernah mendapati sebarang kecederaan pada anaknya.
Malah bayi itu juga dikatakan aktif seperti biasa dan tidak mengesyaki anaknya didera oleh suspek.
Setakat ini polis belum menahan wanita tersebut tetapi sudah merakam percakapannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.