KUALA LUMPUR, 23 Okt — Gencatan politik dalam keadaan negara berhadapan ujian getir pandemik COVID-19 dilihat perlu kerana ia melibatkan soal keselamatan rakyat, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Menurut pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia itu, langkah yang diambil Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengisytiharkan gencatan politik pada Rabu lepas disambut baik parti politik lain yang turut mahukan keutamaan rakyat diberikan tumpuan.
“Saya percaya walaupun gencatan politik berlaku, parti-parti politik tidak akan berhenti untuk berpolitik kerana dalam waktu ini mereka boleh merancang strategi politik untuk masa akan datang.
“Politik kita kalis COVID-19, ahli-ahli politik masih ingin berjuang untuk mendapatkan kepentingan mereka atas nama demokrasi,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk ‘Gencatan Politik : Penyelesaian Kepada Kemelut atau Akan Bertambah Kalut?’ yang disiarkan di Bernama TV, malam ini.
Senada dengan Mohd Izani, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid menegaskan agenda untuk memperkasakan rakyat perlu diterjemahkan dalam bentuk tanggungjawab oleh ahli-ahli politik.
Katanya, ia perlu menjadi fokus utama wakil rakyat berbanding kepentingan mereka untuk mempertahankan status quo, selain merealisasikan tuntutan termasuk kemahuan menjadi perdana menteri, pertambahan wakil dalam kementerian dan sebagainya.
“COVID-19 adalah ancaman keselamatan yang serius. Secara rasionalnya, gencatan politik boleh berlaku jika semua pihak bersetuju yang perkara berkaitan kuasa dan pangkat perlu ditangguhkan terlebih dahulu kerana masalah utama sekarang adalah penularan pandemik tersebut,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata UMNO melaksanakan gencatan politik bagi mendukung usaha yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kelembapan ekonomi.
Menurut Ahmad Zahid, semua pemimpin parti itu yang berada dalam Kabinet telah diarah memberikan tumpuan penuh kepada usaha membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik itu.
Sementara itu, mengulas mengenai isu darurat yang hangat mencetuskan spekulasi banyak pihak, Kartini berkata darurat boleh diisytihar dalam keadaan negara berdepan ancaman keselamatan iaitu COVID-19 berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, langkah melaksanakan darurat juga adalah pilihan terakhir bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya dalam masa terdekat.
“Kalau menilai semula dalam keadaan negara berperang dengan COVID-19, darurat boleh dilaksanakan kerana melibatkan ancaman keselamatan dan pengisytiharan itu boleh berlaku jika Yang di-Pertuan Agong bersetuju,” katanya.
Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam terancam.
Bagi rakyat yang menganggap darurat, sekiranya berlaku, akan meragut kebebasan mereka, Mohd Izani berpendapat senario itu adalah sedikit berbeza kerana ia lebih bersifat kepada ‘darurat politik’ yang membolehkan rakyat tetap melakukan aktiviti seperti sedia kala.
“Saya fikir sekiranya darurat diperkenalkan, ia adalah untuk mencegah berlakunya pilihan raya yang lebih awal.
“Semua pihak perlu memahami, jika pilihan raya berlaku dalam masa terdekat, ia akan mencetuskan lebih banyak penularan jangkitan COVID-19 sekali gus meningkatkan bilangan kes penyakit itu,” katanya.
— BERNAMA