SEBAGAI bekas penagih dan masih lagi melalui proses pemulihan, Radhi dianggap paling sesuai dengan pengalaman yang dilaluinya untuk dijadikan panduan mereka yang telah atau belum terjebak dengan najis dadah.
Penyanyi kumpulan muzik alternatif Radhi OAG berkata detik perjalanan hidupnya untuk pulih daripada ketagihan dadah boleh dijadikan kisah pedoman buat mereka yang tersilap langkah.
“Tanpa sokongan daripada bekas penagih yang melalui proses pemulihan seperti saya, benda macam ni (penyalahgunaan dadah) tidak akan berhenti.
“Mereka memerlukan (panduan) seorang yang pernah yang pernah melalui proses going to hell and heaven,” kata Radhi.
Radhi ditemui semasa pelancaran kempen terbaharu pertubuhan bukan kerajaan Drug Free Malaysia (DFM) dalam usaha meningkatkan perjuangan memerangi penyalahgunaan dadah yang dikenali sebagai Voices For Humanity ataupun Suara Untuk Kemanusian.
“Saya perlu sentiasa bersama mereka (DFM) kerana mereka ini mempunyai fikiran yang terbuka dan tidak prejudis. Itu yang menarik mengenai Drug Free Malaysia,” kata Radhi.
Sementara itu, pengasas bersama DFM, Khai Aziz akan terus menggunakan muzik dan seni kreatif yang lain untuk memenangi hati orang muda dalam kempen memerangi dadah.
“Menggunakan muzik dan benda-benda kreatif seperti seni persembahan, seni rekaan grafik dan video kerana itu adalah salah satu cara kita untuk mendekati anak-anak muda kerana mereka suka benda-benda yang kreatif,” kata Khai.
Khai merupakan seorang aktivis antidadah yang menyampaikan mesej menerusi muzik keras sudah melahirkan ramai aktivis muda di seluruh Malaysia menerusi ideologi straight edge.
“Kempen anti dadah adalah juga program kemanusian di mana kita mahu mendekati anak-anak muda dan orang yang terjebak dengan dadah dengan memberitahu mereka ada peluang kedua, di mana kita akan bantu mereka untuk ke jalan yang lurus,” jelas Khai.
“Kebanyakan kami adalah pemuzik bebas dan undergound, sudah tiba masa kami ke depan dan memberitahu bahawa kami melakukan sesuatu kepada komuniti.”
Pelancaran kempen Suara Untuk Kemanusian turut menyaksikan penayangan dokumentari mengenai usaha Khai dalam memerangi dadah di Malaysia, yang diterbitkan sebuah produksi filem dari Hollywood.
Ia turut mendapat sokongan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Pengasih Malaysia dan NGO hub.