KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang menjalankan siasatan berhubung satu rampasan melibatkan antara lain, pistol, peluru hidup dan komponen membuat bom, yang dibuat menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Ketereh pada Sabtu.
Susulan rampasan itu, enam rakyat Thailand termasuk 3 wanita ditahan dalam rumah berkenaan antara jam 2.30 hingga 4.40 pagi Ahad.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mereka yang ditahan, berusia dari 19 hingga 55 tahun, termasuk dua pasangan suami isteri, kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan.
Katanya, pihaknya menemui empat pucuk pistol jenis Smith and Wesson, pistol separa automatik berwarna kelabu, pistol buatan Israel dikenali Uzi Eagle dan Glock, yang disembunyi dalam ketuhar, laci, serta tandas rumah berkenaan.
Turut ditemui, pistol yang mempunyai peluru serta ratusan peluru hidup pelbagai saiz serta laras pistol.
Lebih mengejutkan, pihak polis turut menemui komponen membuat bom buatan sendiri antaranya bateri, papan litar, power bank, mercun bola, Sulfur ‘Elektrik Sparkles’ dan alatan lain.
“Kita sedang menyiasat tujuan sejumlah senjata dan peluru hidup ini dimiliki suspek berkenaan, sama ada mereka terlibat jenayah atau hanya memberi sewaan senjata kepada penjenayah.
“Namun, siasatan awal mendapati, mereka menggunakan senjata dan bom ini untuk kegunaan sendiri,” kata Hasanuddin pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
“Pihak polis percaya bahan letupan dan pistol berkenaan dibawa masuk melalui pengkalan haram di Rantau Panjang secara komponen dan berperingkat-peringkat, yang kemudiannya dipasang di sini,” katanya.
Menurutnya, pistol berkenaan dipercayai dibeli dari negara jiran dengan harga antara 40,000 hingga 60,000 baht sepucuk.
Kesemua suspek berkenan yang sudah direman selama 14 hari bermula hari ini memasuki Malaysia tanpa sebarang dokumen dan menggunakan laluan haram.
Mereka juga dipercayai sudah menetap di Ketereh sejak hampir setahun lalu, tambah Hasanuddin.
Selain senjata api, pihaknya juga turut merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai lebih RM200.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat), Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, Akta 4 Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, pada sidang media sama, polis Kelantan juga memaklumkan berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM33,000 dalam satu serbuan pada 2 Februari.
Serbuan pada jam 3 pagi itu dilakukan di sebuah pondok yang terletak dalam kebun getah di Kampung Teluk Sawa, Tok Uban, Pasir Mas.
Susulan rampasan itu, pihaknya juga berjaya menaahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Suspek dipercayai pengedar dadah di kawasan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.