KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai apakah ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, bakal menggantung raket akhirnya terjawab selepas atlet kelahiran Pulau Pinang itu sendiri mengumumkan persaraannya.
Keputusan itu dibuat selepas dia mengadakan perbincangan bersama keluarga dan jurulatih, Liz Irving, yang menjadi tulang belakang kejayaannya ketika di puncak karier dan sehingga kini.
“Saya gembira untuk bersiaran di sini bagi berkongsi perkembangan,” katanya dalam lintas langsung secara eksklusif dengan Nadi Arena malam ini.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk mengumumkan bahawa saya akan bersara Jun depan.
“Ia akan menjadi musim terakhir saya dalam karier profesional,” jelas atlet berusia 36 tahun itu.
Perkembangan itu ternyata menjadi kehilangan besar buat negara memandangkan dia dianggap ikon sukan kebangsaan sejak lebih sedekad lalu.
Nicol memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia, iaitu selama sembilan tahun, sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015.
Pemain yang kini di ranking ke-21 dunia itu sudah mengecapi kesemua kejuaraan, termasuk lapan kali bergelar juara dunia, selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.
Satu-satunya kekesalannya ialah skuasy belum diterima menjadi acara rasmi dalam Sukan Olimpik sepanjang kerjayanya selaku pemain.