Kejutan demi kejutan daripada suami tercinta sudah tentu membuatkan sang isteri terharu dan hilang segala penat yang selama ini ditanggung.
Sebelum ini tular di Facebook, video seorang suami melakukan kejutan kepulangan ke pangkuan keluarga.
Kali ini sekali lagi selepas tujuh bulan berpisah, sebagai tanda terima kasih, suami sanggup telah sewa sebuah Ford Mustang semata-mata untuk bawa isteri jalan-jalan.
7 Bulan Terpisah, Bawa Isteri Naik Ford Mustang
Selepas tujuh bulan terpisah, seorang isteri dikejutkan suaminya dengan dibawa keluar makan malam menaiki Ford Mustang.
Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, menyewa kereta itu khas untuk membawa isterinya Norhariyanti Abu Bakar, 38, dua hari lalu.
Shahruddin yang bekerja di syarikat pengeluaran air minuman di Singapura tidak dapat pulang ke rumahnya di Johor Bharu, Johor berikutan penutupan sempadan sejak tujuh bulan lalu.
Dia yang kembali ke Malaysia pada 3 Oktober sebelum menjalani kuarantin kendiri dan pulang ke rumah keluarganya di Johor Bahru pada 6 Oktober lalu selepas disahkan negatif Covid-19.
Sebelum itu, dia membuat kejutan kepada keluarganya apabila pulang tanpa memaklumkan kepada mereka.
Video pertemuan itu dikongsikan sendiri Shahruddin di akaun Facebook (FB) miliknya, 6 Oktober lalu.
Videonya itu mendapat perhatian netizen dan meraih hingga 61,000 tontonan.
Baca Juga Di sini:
Tujuh Bulan Terpisah Jauh, Ayah Menyamar ‘Orang Aircond’ Surprise Anak-anak
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Sebagai tanda Terima Kasih
“Saya bawa isteri makan malam dengan menaiki Ford Mustang yang disewa khas dua hari lalu sebagai tanda hadiah terima kasih menguruskan anak-anak ketika saya tiada.
“Sepatutnya sewa satu hari kereta berkenaan RM2,000, tetapi saya hanya mampu sewa separuh hari kerana tidak cukup bajet tetapi tidak sangka pula dapat percuma.
“Pemilik kereta beritahu dia tersentuh dan terharu dengan kisah yang saya kongsikan di FB dan ingin menaja penuh kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Rahsia Kepulangan Sebab Nak Bagi Kejutan
Menurut Shahruddin, dia merahsiakan kepulangannya ke kampung halaman disebabkan mahu memberi kejutan kepada ahli keluarganya.
“Ibu saya tergamam dan tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana sudah pulang memandangkan kali pertama saya berjauhan dengan keluarga.
“Jika diikutkan rutin harian kerja, saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja namun disebabkan penutupan sempadan saya terpaksa menyewa katil bernilai 400 dolar Singapura (RM1,221) sebulan.
“Mujur saya tidak dibuang kerja waktu itu kalau tidak mungkin senasib dengan gelandangan di sana yang dibuang kerja tetapi tidak dapat pulang ke Malaysia,” katanya.
Hanya Panggilan Video Pengubat Rindu
Lebih mengharukan, Shahruddin berkata, panggilan video sajalah yang menjadi pengubat rindu kepada keluarganya ketika dia berada di perantauan.
“Saya juga terpaksa meninggalkan anak lelaki pertama saya yang baru saja berusia tiga bulan ketika itu.
“Kedua-dua anak saya seakan tidak mengenali saya kerana mereka masih kecil sewaktu saya meninggalkan rumah,” katanya.
Shahruddin berkata, dia bersyukur permohonan cutinya untuk pulang ke tanah air mendapat kebenaran syarikat walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi.
“Saya mengambil cuti selama tiga minggu dan akan kembali semula ke Singapura selepas ini.
“Semua kos termasuk ujian saringan Covid-19 dan hotel untuk kuarantin selepas balik semula ke Singapura memakan belanja hampir 1,236 dolar Singapura (RM3,775.23),” katanya.
Shahruddin berkata, dia akan memanfaatkan cutinya bersama seluruh ahli keluarganya sebelum pulang bertugas di republik itu.
MW: Walaupun hanya dapat bercuti selama tiga minggu, namun kehadiran sang ayah tentu menggembirakan hati anak-anak yang sudah lama tidak menatap wajah ayah secara berdepan.
Panggilan video yang dibuat hari-hari sudah tentu tidak akan sama. Semoga Keluarga ini kuat menempuhi ujian ini.
Sumber: myMetro